Saturday, September 4, 2010

1.0 Pengenalan

Hujan, glasier, ombak dan angin merupakan agen geomorfik dalam mengubah landskap fizikal bumi. Selain daripada itu, sungai juga antara salah satu daripada agen geomorfik yang sangat berpengaruh dalam perkembangan dan perubahan bentuk-bentuk pandang darat fizikal di kawasan di muka bumi.

Menurut Tengku Anuar dan Shaharuddin (1989), peranan dan pengaruh sungai terhadap bentuk muka bumi fizikal secara ringkasanya adalah disebabkan oleh tugas sungai dalam mengangkut dan memendapkan bahan-bahan, menghakis lurah-lurah dan pengaruhnya dalam mengubah pandang darat fizikal di kawasan yang lebih luas. Selain itu juga, sungai mempunyai tenaga yang kuat yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kecuraman alur sungai, ketinggian daripada aras laut dan juga dengan wujudnya tarikan graviti bumi yang menyebabkan air mengalir di sepanjang alur dan lurahnya. Tindakan sungai ini telah menyebabkan terbentuknya bentuk-bentuk utama sungai. Tasik ladam merupakan salah satu daripada bentuk-bentuk utama sungai hasil daripada tindakan sungai. Nama “tasik ladam” diambil bersempena dengan bentuknya yang unik seperti anak bulan (Rajah 1).


Rajah 1: Tasik Ladam Bentuk Anak Bulan
Sumber: Geografi Umum, http://www.sabah.edu.my/mrc030.wcdd/sungai.html

Definisi bagi yang dirujuk daripada Pusat Rujukan Persuratan Melayu (2010), tasik ladam yang terbentuk apabila aliran sungai terputus dari sungai utama. Tasik yang sedemikian terbentuk apabila sungai mengubah haluannya ke arah yang lebih terus menuju ke laut. Sungai itu meninggalkan longgokan tanah di kedua-dua bahagian hujung lingkungan laluannya, dan longgokan tanah ini akhirnya memisahkannya daripada sungai utama. Tasik ladam biasanya agak cetek. Ia mungkin dipenuhi mendapan akibat banjir sungai dan tumbuhan yang mati, dan akhirnya lenyap.

2.0 Latar Belakang Kawasan Kajian: Sungai Bedil B, Rangkaian daripada Sungai Sarawak

Sungai Sarawak terletak di barat daya negeri Sarawak. Bahagian Ulu sungai ini terletak di Banjaran Kapuas. Sungai Sarawak juga terbahagi kepada dua iaitu Sungai Sarawak Kanan dan Sungai Sarawak Kiri. Nama Sungai Sarawak adalah diambil dari nama sejenis galian batu bijih iaitu "serawak". Batu Bijih serawak mengandungi campuran belerang dan antimoni. Ini bertepatan sekali dengan sejarahnya iaitu semasa Sarawak di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, wilayah Sarawak pada masa itu kaya dengan antimoni (Sejarah Sarawak, [Atas Talian] diambil daripada http://www.ehoza.com/v4/forum/info-sejarah/41507-sejarah-sarawak.html).

Rajah 2: Kawasan Kajian di Bahagian Kuching
Sumber: Military Survey, Ministry of Defence (1977).

Kawasan kajian secara khusus terletak di sungai Bedil B. Sungai Bedil B merupakan salah satu rangkaian daripada Sungai Sarawak. Sungai Bedil B dipilih sebagai kawasan kajian kerana terdapatnya bentuk-bentuk utama sungai iaitu tasik ladam. Kawasan kajian ini terletak di garisan latitud 1° 34’ °U dan longitud 110° 20’ °T yang dirujuk pada Peta topo Kuching yang telah dikeluarkan oleh Military Survey, Ministry of Defence (1977). Terdapatnya kawasan petempatan di lokasi kajian.

3.0 Proses Pembentukan Landskap Tasik Ladam

Tasik ladam biasanya terbentuk di kawasan tanah pamah (lowland) seperti yang ditunjukkan dalam rajah 3. Perkembangan alur sungai pada peringkat tua biasanya akan melibatkan pembentukan banyak liku-liku sungai yang melengkung dan juga bentuk hampir bulat ataupun bujur seperti dalam rajah 4 di sebelah. Perkembangan liku-liku sungai yang berlaku secara berperingkat akan membentuk tasik ladam (Tengku Anuar dan Shaharuddin, 1989).

Rajah 3: Struktur Sungai dan Lembah Sungai.
Sumber: diambil daripada Vincent Bunce (1997).



Rajah 4: Hasil dari Anjakan Sungai Berliku boleh terbentuk Tasik Ladam
Sumber: http://pkukmweb.ukm.my/~kamal/Sekitaran-sedimen/berliku.htm

Menurut Ann Bowen et all. (1998), menyatakan bahawa tasik ladam terbentuk hasil daripada proses pemendapan dan hakisan yang berlaku pada tebing sungai yang berliku-liku sungai. Proses pemendapan dan juga hakisan tebing sungai berlaku secara lateral. Tekanan air yang kuat akan menghakis tebing dan secara tidak langsungnya akan membentuk lengkungan ataupun liku-liku sungai yang tajam. Selain itu juga, tekanan air yang menghakis ini akan membentuk tebing yang curam (river cliff). Tindakan hakisan yang giat pada terhadap dua bahagian liku sungai yang cekung menyebabkan alur sungai yang baru wujud dan bahagian liku sungai asal terpisah daripadanya membentuk tasik ladam. Rujuk rajah 5 di bahagian lampiran.

4.0 Daya yang Mempengaruhi Pembentukan Landskap Tasik Ladam

4.1 Daya Graviti

Daya graviti merupakan salah satu daya utama yang mempengaruhi struktur sungai. Menurut Jamaluddin (1988), daya graviti merupakan daya yang membolehkan air bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dan apa saja yang boleh meningkatkan daya graviti ini akan menambahkan lagi tenaga air sungai.

Tarikan graviti akan bertambah sekiranya air dalam sungai bertambah. Oleh yang demikian, sungai yang mengandungi banyak air, walaupun keadaannya tenang akan mempunyai tenaga yang lebih untuk menghakis dan memendap. Proses hakisan dan pemendapan yang berlaku pada liku-liku sungai akan membentuk tasik ladam. Kebolehan sungai untuk menghakis dan memendapkan tebing-tebing sungai juga disebabkan oleh dua jenis tenaga iaitu tenaga keupayaan dan tenaga kinetik. Secara tidak langsung, tenaga kinetik dan tenaga keupayaan juga mempengaruhi pembentukan tasik ladam (Jamaluddin, 1988).

4.2 Daya Geseran
Daya geseran bermaksud daya yang dikenakan ke atas permukaan yang bersentuhan dalam arah yang bertentangan (http://www.moe.gov.my). Daya geseran juga mempengaruhi dalam pembentukan tasik ladam kerana daya ini menghakis dan mengisar batuan dan butir-butiran batuan yang lain.

5.0 Faktor-faktor Semulajadi yang Mempengaruhi Pembentukan Landskap Tasik Ladam
Tasik ladam terbentuk secara semulajadi dan tidak dipengaruhi dengan aktiviti buatan manusia. Tasik ladam dipengaruhi dengan aktiviti-aktiviti semulajadi sungai yang berkait-rapat dengan halaju sungai.

5.1 Hakisan Sungai
Hakisan sungai merupakan satu kegiatan atau kerja sungai yang sangat penting dan hakisan sungai ini melibatkan empat proses yang boleh berlaku secara serentak dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Di samping itu, keempat-empat proses ini juga mempengaruhi pembentukan tasik ladam (Tengku Anuar dan Shaharuddin, 1989).

Proses yang pertama ialah tindakan hidraul yang melibatkan hempasan air yang mengalir terhadap lubang-lubang, rekahan, dan retakan batuan dalam lurah-lurah sungai. Tindakan hidraul ini mempunyai hubungan dengan aliran sungai yang sangat laju yang boleh mengali keluar atau mengcungkil bahan-bahan batuan yang berstruktur longgar tetapi ia juga dapat memecahkan batuan yang lebih padat. Tindakan hidraul ini menjadi semakin aktif jika terdapatnya pusaran air sungai yang mengandungi air terjun, jeram dan lubuk pusar (Tengku Anuar dan Shaharuddin 1989). Walaupun di kawasan kajian iaitu di sungai Bedil B tiada air terjun, jeram ataupun lubuk pusar namun begitu tindakan hidraul ini secara tidak langsung faktor kepada pembentukan tasik ladam.

Tengku Anuar dan Shaharuddin (1989) menyatakan bahawa proses geselan atau kikisan juga merupakan salah satu faktor semulajadi pembentukan tasik ladam di sungai Bedil B. Ini kerana proses geselan ataupun kikisan ini melibatkan geseran terhadap dasar dan dinding lurah sungai seperti serpihan batuan, kelikir dan pasir. Secara tidak bahagian tebing sunggai yang terhakis akan membentuk likuan baru manakala disamping itu tasik ladam pun terbentuk.

Hakisan laga merupakan proses yang ketiga yang melibatkan pepecahan, perubahan saiz dan bentuk-bentuk bahan-bahan yang diangkut oleh aliran sungai apabila bahan-bahan tersebut berlaga dan berlanggar antara satau sama lain. Hakisan lagan ini akan menyebabkan saiznya semakin kecil dan juga bentuknya berubah. Memandangkan sungai Bedil B merupakan anak sungai Sarawak maka perlanggaran antara batuan masih wujud kerana wujudnya aliran air yang deras.

Proses larutan melibatkan hakisan tebing sungai yang berlaku secara kimia di mana air sungai akan melarutkan bahan-bahan batuan terutama sekali pada lurah-lurah sungai yang berbatu kapur, dolomite dan jenis batuan yang mudah larut. Antara bahan –bahan batuan yang mudah dilarutkan oleh air ialah seperti kalsium, naterium, bikarbonat, sulfat dan klorin. Secara tidak langsung, sungai Bedil B juga mengalami hakisan ini walaupun Sungai Bedil B tidak mengalami air pasang dan surut (Tengku Anuar dan Shaharuddin, 1989).


5.2 Pemendapan
Pemendapan sungai ialah penimbunan atau longgokan bahan seperti pasir dan
kelikir yang diangkut oleh sungai ke peringkat rendah dan mendap apabila
tenaga aliran dan halaju sungai semakin perlahan khasnya di kawasan yang
bercerun landai.

Pemendapan sungai boleh berlaku disebabkan beberapa faktor fizikal antaranya
ialah isi padu air sungai yang berkurangan. Apabila keadaan ini berlaku,bahan-
bahan yang dibawa mula dimendapkan di dasar sungai. Kedua ketika halaju air
mula berkurangan. Halaju air sungai yang semakin perlahan menyebabkan
keupayaan air sungai mengangkut bahan-bahan mendapan berkurangan
menyebabkan proses pemendapan akan terus berlaku (Tengku Anuar dan Shaharuddin, 1989). Proses ini juga berlaku di sungai Bedil B kerana halaju air akan kurang tiadanya pasang surut sungai di kawasan kajian tersebut.

Selain itu, apabila wujud halangan di dalam sungai seperti tanah runtuh, pokok tumbang, longgokan batu-batu kasar yang banyak di dasar sungai juga
menyebabkan proses pemendapan meningkat. Proses mendapan sungai bertambah apabila bentuk alur sungai berliku-liku atau berkeadaaan tidak rata.

Tindakan graviti semakin berkurangan apabila cerun landai dan ini memberi
kesan kepada peningkatan bahan mendapan sungai. Pemendapan menjadi
semakin meningkat apabila kurangnya tanaman litupan bumi di kiri kanan tebing
sungai. Keadaan ini meningkatkan kadar hakisan tebing sungai dan bahan-
bahan muatan sungai bertambah banyak memasuki sungai hingga
meningkatkan bahan mendapan sungai.kurangnya litupan tumbuhan kerana Sungai Bedil B terletak di kawasan petemapatan, maka tanaman litupan bumi juga semakin kurang.

Proses pengangkutan sungai akan terhenti atau menjadi perlahan disebabkan
oleh beberapa faktor seperti pertembungan arus sungai dengan arus laut di
muara, perubahan morfometri alur sungai dari kecil kepada besar atau akibat
halangan-halangan di dasar sungai. Faktor-faktor ini akan mengurangkan halaju
arus sungai. Apabila halaju arus sungai menjadi perlahan maka sungai akan
memendapkan bahan atau muatan yang di bawa. Justeru itu di kawasan hilir
sungai biasanya dikuasai oleh bentuk-bentuk pemendapan. Tasik ladam merupakan bentuk muka
bumi hasil pemendapan sungai. Hal ini boleh dilihat pada Rajah 2 dimana kawasan kajian terletak di kawasan perubahan morfometri alur sungai dari kecil kepada besar.

5.3 Halaju Air
Di sungai berliku, aliran laju di permukaan dan perlahan di kawasan dasar, dan juga adanya berbezaan halaju di antara tebing luar dan tebing dalam. Ini menyebabkan terdapat satu putaran arus, yang mana di bahagian permukaan, arus bergerak ke arah tebing luar, dan di bahagian dasar pula, arus bergerak ke arah tebing dalam. Arus ini dipanggil arus helikal (helical flow). Secara amnya, helical flow ini menghakis bahagian tebing luar dan memendapkannya di bahagian tebing dalam. Ini menyebabkan berlakunya anjakan atau pergerakan pada sungai berliku. Hasil dari anjakan sungai berliku, boleh terbentuk tasik ladam seperti dalam rajah 6 pada bahagian lampiran (http://pkukmweb.ukm.my/~kamal/Sekitaran-sedimen/berliku.htm).

5.4 Hujan
Hujan juga secara tidak langsung mempengaruhi pembentukan landskap tasik ladam. Ini kerana tindakan larian air hujan dan sungai dalam menghakis, mengangkut dan memendapkan bahan-bahan yang telah mengalami luluhawa. Tindakan hujan melibatkan beberapa bentuk hakisan di kawasan tropika lembap dan gurun panas (Tengku Anuar dan Shaharuddin, 1989).

6.0 Kesimpulan
Tasik ladam merupakan salah satu fenomena alam semulajadi dan merupakan antara satu aktiviti sungai. Pembentukan tasik ladam tidak dapat dielakkan kerana proses ini sentiasa berulang-ulang selagi wujudnya bumi.

Bibliografi
Rujukan Buku:
Ann Bowen, Roger Clay, Carmela Di Landro et all. (1998). Geography For GCSE. London: Addison Wesley Longman.
Calvin Clark. (2005). The physical Environment Third Edition. United Kingdom: Hodder Gibson.
Jamaluddin Md. Jahi. (1989). Pengantar Geografi Fizikal. Kuala Lumpur: Tropikal Press SDN. BHD.
Military Survey, Ministry of Defence (1977). Peta Topografi Bandaraya Kuching. United Kingdom: HMSO London.
Tengku Anuar Tengku dan Shaharuddin Ahmad. (1989). Geografi Fizikal. Kuala Lumpur: Nurin Interprise.
Tom L. Mcknight & Darell Hess. (2004). Physical Geography a Landscape Appreciation. United States: Pearson Education.
Rujukan Internet:
Daya geseran. (2010). [Atas Talian]. Diambil pada 03 September 2010 dari http://www.moe.gov.my.
Hasil dari Anjakan Sungai Berliku boleh terbentuk Tasik Ladam. (2010). [Atas Talian]. Diambil pada 03 September 2010 dari http://pkukmweb.ukm.my/~kamal/Sekitaran- sedimen/berliku.htm.
Pusat Rujukan Persuratan Melayu. (2010). Tasik Ladam. Dewan Bahasa dan Pustaka. [Atas Talian]. Diambil pada 03 September 2010 dari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=lingkungan&d=8.
Sejarah Sarawak. (2010). [Atas Talian]. Diambil pada 03 September 2010 dari http://www.ehoza.com/v4/forum/info-sejarah/41507-sejarah-sarawak.html
Tasik Ladam Bentuk Anak Bulan. Geografi Umum. [Atas Talian]. Diambil pada 03 September 2010 dari http://www.sabah.edu.my/mrc030.wcdd/sungai.html.

No comments:

Post a Comment