Wednesday, September 1, 2010

Kebaikan dan keburukan pendudukan Jepun di Indonesia

1.0 Pengenalan
Semasa Perang Dunia Kedua, Negara-negara di Asia Tenggara terlibat secara langsung dalam peperangan tersebut. Jepun berusaha untuk menguasai Negara-negara di Asia Tenggara selain mengusir penjajah Barat. Jepun telah menggunakan slogan “Asia Untuk Orang Asia” telah menarik perhatian dan sokongan masyarakat Asia. Sejarah pendudukan Jepun di Asia Tenggara telah mencatatkan bahawa Jepun telah berjaya menguasai Indonesia pada 9 Mac 1942 dengan menawan Batavia, apabila ketua tentera Berikat Leftenan Jeneral Ter Poorten menyerah kalah kepada panglima tentera Jepun, Immamura Hitoshi.
Penduduk di Indonesia telah menganggap kedatangan Jepun memberi rahmat kepada tanah air mereka. Namun sangkaan mereka ternyata meleset sama sekali kerana Jepun mempunyai matlamat yang tersendiri iaitu bukan sahaja menghapuskan pengaruh Belanda dalam kalangan penduduk Indonesia malah mengeksploitasi sumber di Indonesia. Sambutan hebat dari penduduk tempatan terhadap kedatangan Jepun di Indonesia disebabkan oleh perasaan kebencian mereka terhadap regim Belanda. Menurut Sutan (Soetan) Sjahrir iaitu seorang ahli politik Indonesia, menyatakan pada mulanya Indonesia menyambut kedatangan Jepun dengan penuh semangat kerana menganggap Jepun sebagai “pembebas”. Namun begitu, Jepun bukanlah seperti yang diharapkan oleh penduduk Indonesia apabila seminggu selepas itu pengibaran bendera Indonesia dilarang. Selain itu juga, pulau-pulau di Indonesia diletakkan di bawah kuasa tentera.
Oleh itu memang tidak dapat dinafikan, kedatangan Jepun ke negara-negara di Asia Tenggara terutamanya di Indonesia banyak mendatangkan kesan negatif ke atas sesebuah negara yang didudukinya, namun ia juga mendatangkan kesan positif terhadap pergerakan kebangsaan. Kesan-kesan negatif dan positif daripada pendudukan Jepun di Indonesia ini jelas dapat dilihat dari segi politik, ekonomi dan juga sosial.
2.0 Kesan-kesan Pendudukan Jepun di Indonesia
2.1 Kesan Pendudukan Jepun dalam Aspek Politik dan Pemerintahan
Pendudukan Jepun di Indonesia telah mendatangkan kesan dari aspek politik dan pemerintahan. Dalam aspek ini wujudnya kesan positif dan negatif ke atas Indonesia. Dari sudut positif, Jepun telah memberi peluang kepada penduduk Indonesia untuk terlibat dalam sistem politik tempatan. Hal ini dapat dibuktikan pada Ogos 1942 setelah Belanda ditawan, Jepun telah melantik penduduk Indonesia untuk mengisi jawatan dalam pentadbiran yang pernah dipegang oleh Belanda . Golongan terpelajar telah diberi peluang untuk menyertai pentadbiran. Manakala ahli-ahli politik pula diberi kebebasan untuk berpolitik. Misalnya di Indonesia, tahanan politik semasa penjajahan Barat seperti Sukarno, Hatta dan Syahrir telah dibebaskan. Pada 1 Mac 1943, Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA ditubuhkan di Indonesia dan Sukarno dilantik sebagai pemimpinnya dengan dibantu oleh Hatta. Bagi memantapkan sokongan penduduk Indonesia kepada Jepun, maka ditubuhkan Tentera Pembela Tanah Air atau PETA pada September 1943. PETA ditubuhkan untuk mempertahankan Indonesia daripada sebarang serangan kuasa Berikat. Sukarno dan Hatta pula dibenarkan berpolitik dan berpidato ke seluruh Indonesia. Namun secara realitinya tentera Jepun masih mempunyai kuasa di Indonesia.
Di samping itu, bagi menjalankan pentadbiran Jepun dengan lebih lancar dan mengatur strategi Indonesia, maka pihak Jepun telah mencari pemimpin-pemimpin politik tempatan bagi membantu mengambil hati rakyat dan kebanyakan jawatan diisi oleh bekas-bekas guru. Kedatangan Jepun tidak menenggelamkan hak-hak penduduk Indonesia menerusi keterlibatan wakil-wakil Indonesia ini. Hal ini, dapat dibuktikan dengan pembentukkan gerakan rakyat iaitu,”Gerakan Tiga A”pada April 1942. Gerakan ini berasal dari slogan yang menyatakan pihak Jepun sebagai pemimpin Asia, pelindung Asia dan juga cahaya Asia. Kebanyakan mereka yang terlibat dalam gerakan ini adalah dalam kalangan penduduk Indonesia yang menyokong pentadbiran Jepun.
Selain itu juga, kesan positif pendudukkan Jepun dari aspek politik dan pemerintahan ini telah membawa kepada berlaku kemajuan politik di Sumatera yang dibawa oleh tentera Jepun. Hal ini demikian kerana, Jepun terpaksa memberi kelonggaran politik kepada orang Sumatera setelah menyedari bahawa kemenangan dalam peperangan amat tipis, memandangkan kedudukan mereka boleh digugat oleh pihak sekutu. Maka cara ini secara tidak langsung akan dapat menstabilkan kedudukan mereka di Indonesia
Dalam aspek pemerintahan ini juga Jepun telah melihat Islam sebagai satu jalan mobilisasi. Maka, pada Mac 1942 pihak Jepun di Jawa mendirikan sebuah Pejabat Urusan Agama yang dikenali sebagai shumubu. Hal ini demikian kerana, Jepun menyifatkan golongan nasionalis Islam ini lebih kepada anti-Barat dan kuat berpegang pada agama sahaja .Oleh itu, Jepun menerima penubuhan organisasi Islam iaitu Majelis Islam A’la Indonesia (MIAI) yang didirikan di Surabaya pada tahun 1937 oleh K.H. Mas Mansur dan kawan-kawannya. Namun penubuhanya hanya sementara kerana Jepun merasakan bahawa matlamat gerakan tersebut tidak selaras dengan matlamat mereka. Maka setelah itu, pada Oktober 1943 pihak Jepun telah membentuk sebuah organisasi baru untuk mengendalikan Islam iaitu Masyumi ( Majelis Syuro Muslimin Indonesia) yang dipimpin oleh tokoh-tokoh Muhammadiah dan Nahdatul Ulama (NU), walaupun pada permulaannya para pemimpin Islam bertekad untuk mempertahankan MIAI. Hal ini menunjukkan bahawa, Jepun masih lagi memberi kebebasan kepada pemimpin Islam untuk turut serta dalam pentadbiran yang dilaksanakan oleh Jepun. Walaupun pada hakikatnya Jepun hanya sekadar ingin memancing hati penduduk Indonesia agar menyokong pentadbiran mereka.
Namun, dari sudut negatifnya pula terbentuk organisasi pemerintahan bercorak tentera. Hal ini demikian kerana, Jabataan Gabenor dan Jabatan Pembantu Residen telah dihapuskan. Kedudukan Residen sebagai Ketua Wilayah Keresidenan masih dikekalkan dan Bupati sebagai Ketua Wilayah Kabupaten juga masih dikekalkan. Segala pemerintah tertinggi dan kuasa Gabenor Jenderal yang dahulunya dibawah Pemerintahan Indonesia akan dijalankan oleh Perwira Tinggi Tentera Jepun yang dikenali sebagai Saikoo Sikikan yang dahulunya dikenali sebagai Gunsireikan. Gunseikan bukan sahaja menggunakan jabatan-jabatan dan jawatan-jawatan yang sedia ada malah turut membentuk jabatan-jabatan baru.
Selain itu, Jepun juga telah mengambil peluang untuk kepentingan mereka dengan menjanjikan keterlibatan beberapa orang Indonesia untuk terlibat dalam urusan-urusan pemerintahan di Indonesia. Bilangan orang Indonesia yang menjadi penasihat (Sanyo) dalam pemerintahan Jepun semakin meningkat. Di Jakarta, Jepun telah membentuk Dewan Penasihat Pusat (Chuo Sangi-in) yang dipimpin oleh Sukarno serta turut dibentuk dewan-dewan daerah yang juga dikenali sebagai Shu Sangi-kai. Namun, pada hakikatnya jawatan-jawatan tidak memberi apa-apa erti kerana pada pandangan Jepun, Indonesia masih tidak layak memperolehi status negara merdeka. Maka, pembentukan dewan-dewan ini adalah sebagai simbol penyertaan dari golongan masyarakat Indonesia.
2.2 Kesan Pendudukan Jepun dalam Aspek Ekonomi
Selain itu, pendudukan Jepun di Indonesia juga telah memberi kesan terhadap sistem ekonomi di Indonesia. Kesan dalam aspek ekonomi ini dapat dilihat dari kesan positif dan negatif. Kesan postif pendudukan Jepun ke atas ekonomi Indonesia ialah menyebabkan kemajuan dalam bidang perkebunan. Kemajuan dalam bidang perkebunan ini boleh dilihat dengan wujudnya sebuah badan pengawasan yang dibentuk oleh Gunseikan. Badan pengawasan ini dinamakan Saibai Kigyo Kanrikodan (SKK). SKK ini selain bertindak sebagai pengawas, badan ini juga merupakan pelaksana dalam proses pembelian dan penentuan harga penjual hasil pekebunan itu. Keadaan ini, menyebabkan kemajuan dalam bidang perkebunan terutamanya perkebunan kina (ubat-ubatan) dan karet (getah), di mana perusahaan swasta telah dijalankan dan dimajukan oleh pihak Jepun. Hal ini kerana, kina dan karet mendapat permintaan yang tinggi terutamanya untuk keperluan perang.
Seterusnya, kesan positif pendudukan Jepun di Indonesia iaitu pembaikan sistem kewangan Indonesia. Dalam bidang kewangan pihak Jepun berusaha untuk mempertahankan nilai gulden atau rupiah Hindia-Belanda. Tindakan pihak Jepun dalam mempertahankan nilai rupiah adalah bertujuan untuk mempertahankan nilai tersebut seperti sebelum berlakunya perang untuk mengawasi nilai masuk dan juga nilai keluar rupiah. Disamping itu, nilai wang rupiah masih lagi sah dan diguna pakai di Indonesia. Selain itu, untuk mengukuhkan lagi kewangan Indonesia pihak Jepun telah mengawasi beberapa bank bekas milik Belanda iaitu De Javasche Bank, Nederlandsche Handels Maatschappij, Nederlands-Indische Escompto Bank dan Batavia Bank. Bank-bank bekas Belanda tersebut telah digantikan dengan bank-bank Jepun iaitu Yokohama Ginko, Mitsui Ginko, Taiwan Ginko dan Kana Ginko dibawah seliaan Nanpo Keihatsu Kenso yang bertujuan untuk memajukan wilayah Selatan Indonesia.
Pembukaan tanah baru merupakan kesan positif dalam pendudukan Jepun di Indonesia. Melalui pembukaan tanah baru dan juga bekas tanah perkebunan adalah bertujuan untuk penanaman padi. Contohnya, bekas perkebunan tembakau di Sumatera Timur telah ditanam dengan tanaman padi yang luasnya lebih kurang 10.000 hektar. Malah tanah pertanian baru di daerah Karo telah dibuka dengan menggunakan tenaga-tenaga tawanan. Di Kalimantan dan Sulawesi pula, penanaman padi adalah diwajibkan. Hal ini adalah kerana untuk mengatasi masalah kekurangan beras terutamanya di Jawa.
Selanjutnya, kesan positif pendudukan Jepun di Indonesia ialah dapat mengurangkan kebergantungan Indonesia terhadap barangan import dari Belanda. Bagi mengatasi masalah kebergantungan bahan import di Indonesia, Jepun telah memperkenalkan penanaman kapas di Indonesia. Antara daerah-daerah yang dipilih untuk pecubaan penanaman kapas ialah Cirebon, Malang, Kediri dan Bekasi. Setelah percubaan dijalankan selama dua tahun, dua kawasan yang menghasilkan kapas yang bermutu tinggi ialah daerah Kediri dan Bekasi. Di Sumatera, kapas juga ditanam di daerah Palembang selain daripada Bali dan juga Sulawesi yang mana kapas ini dimasukkan sebagai Rancangan lima tahun. Industri pertenunan masih diteruskan walaupun pernah ditutup kerana kekurangan bahan mentah. Hal ini kerana,telah mendapat permintaan yang tinggi daripada rakyat untuk menolong orang yang tidak berpakaian. Inisiatif-inisiatif yang dilakukan dengan membuat percubaan mencari bahan ganti benang kapas. Bahkan pada bulan April 1944, diadakan “Pekan pengumpulan Pakaian untuk Rakyat Jelata”.
Dari aspek negatif pula kesan pendudukan Jepun di Indonesia dari segi ekonomi dapat dilihat sejak zaman penjajahan Belanda lagi. Indonesia telah mengalami masalah kemerosotan ekonomi berdasarkan eksport bahan-bahan mentah ke negara mereka untuk keperluan industri. Masalah ini berlanjutan semasa pendudukan Jepun di Indonesia sehingga menyebabkan eksport barangan tidak dapat diteruskan. Selain itu, masalah pengeksportan berlaku kerana Jepun telah mengharamkan eksport ke negara lain kecuali ke negera Jepun.
Wujudnya ekonomi perang merupakan kesan negatif pendudukan Jepun di Indonesia. Hal ini, sesuai dengan asas ekonomi perang yang mana segala kekayaan ekonomi telah dikuasai oleh pemerintah. Oleh itu, bidang perdagangan dimonopoli Syarikat swasta Jepun seperti Mitsui Kabushiki Kaisha, Osaka Reina Kabushiki Kaisha. Monopli ini juga dilakukan terhadap pembelian, penjualan, pembahagian barang-barang yang berasal dari Kumiai. Sebaliknya pedagang-pedagang pribumi diawasi dengan ketat. Barang yang hendak dijual haruslah didaftar terlebih dahulu dan dilaporkan hasil penjualannya.
Selain itu, penghasilan sumber daripada aktiviti pertanian juga semakin merosot semasa pendudukan Jepun. Pokok-pokok getah telah ditebang untuk digantikan dengan penanam ubi kayu bagi makanan asas penduduk tempatan. Kemerosotan ini jelas dapat dilihat pada tahun 1943, apabila pengeluaran getah hanya 1/3 daripada hasil getah pada tahun 1941. Kemerosotan pengeluaran getah ini secara tidak langsung telah mengurangkan Keluaran Negara Kasar (KNK) Indonesia pada ketika itu.
Kesan negatif pendudukan Jepun boleh dilihat dari segi kewangan, di mana Indonesia mengalami masalah inflasi yang teruk sehingga wang kertas rupiah tiada nilai lagi. Peredaran wang kertas rupiah yang tidak terkawal dan kekurangan barangan penguna telah mengakibatkan berlakunya inflasi. Pada tahun 1945, nilai mata wang Jepun hanya 2.5% dari nilai mukanya. Hal ini memberi kesan yang besar terhadap perkembangan ekonomi di Indonesia. Akibatnya, rakyat Indonesia berasa tertekan dengan situasi ekonomi begini dan hal ini menyebabkan timbulnya perasaan anti-Jepun.
Dasar Jepun yang lebih mengutamakan kepentingan ekonomi sendiri sehingga mengabaikan keperluan rakyat telah menyebabkan masalah kebuluran dan juga berlakunya wabak penyakit. Hal ini kerana, Jepun telah merampas hasil pengeluaran padi yang diusahakan oleh petani tempatan. Jepun juga menindas penduduk Indonesia dengan memaksa petani menjual hasil padi dengan harga yang rendah daripada harga pasaran. Semasa pendudukan Belanda di Indonesia, harga padi lebih tinggi jika dibandingkan dengan harga yang ditetap pada zaman pendudukan Jepun.
Pada tahun 1940 hingga 1941 harga Padi Tjere adalah f 3.25 untuk 100 kilogram manakala harga Padi Bulu f 3.60 untuk 100 kilogram juga semasa Indonesia masih lagi di bawah penguasaan Belanda. Hal ini jauh berbeza dengan harga yang telah ditetapkan semasa pendudukan Jepun kerana harga padi turun sebanyak 50 peratus sedangkan harga beras semakin lama semakin meningkat. Hasil padi yang dirampas diserahkan kepada pihak Jepun manakala rakyat diperkenalkan dengan makanan ruji yang baru untuk menggantikan nasi yang dikenali sebagai bubur rakyat atau bubur Asia Raya. Ini kerana, rakyat Indonesia menganggap kedatangan Jepun merupakan satu perkara yang menguntungkan tetapi merupakan satu malapetaka yang mereka tidak dapat diduga sama sekali.
Selain itu, kesan negatif semasa pendudukan Jepun ialah rakyat Indonesia telah dipaksa menjadi buruh paksa. Sekurang-kurangnya 200 ribu orang buruh paksa dihantar ke sempadan Siam-Myanmar dan New Guinea. Kekurangan makanan ini telah menyebabkan ramai buruh paksa meninggal dunia. Kedatangan Jepun, merupakan sejarah yang perit yang terpaksa dilalui oleh rakyat Indonesia terutamanya kezaliman yang telah dilakukan oleh polis rahsia Jepun Kempetai, Tekkikan dan Toko. Resam hidup manusia yang inginkan kebebasan telah menguatkan semangat rakyat Indonesia untuk bangun memperjuangkan kemerdekaan tanah air yang mereka cintai.
Di samping itu juga, penduduk Indonesia disuruh untuk menebang tanaman seperti kopi dan getah. Akibatnya, rakyat menderita mengikuti peraturan ini. Mereka diharuskan menebang kebun-kebun kopi dan menggantikannya dengan tanaman lain untuk membesarkan hasil pangan. Daerah Pulau Jawa dituntut untuk menghasilkan 50,000 ton beras dan 30,000 ton jagung. Akibatnya rakyat menjadi mangsa terhadap kekejaman pemerintah.
Selain itu, semasa pendudukan Jepun sistem Romusha telah diperkenalkan. Sistem ini adalah sistem yang digunakan oleh pihak Jepun untuk memperolehi sumber tenaga untuk ketenteraan. Oleh kerana sumber tenaga untuk ketenteraan yang kurang, Jepun telah menggalakkan sumber tenaga untuk sistem pertanian diambil alih oleh haiwan seperti kerbau untuk kerja memajak padi. Hal ini, bertujuan untuk mengurangkan penggunaan sumber tenaga manusia dan lebihan manusia yang tidak digunakan untuk menyertai Romusha. Peranan ini bukan sahaja dimainkan oleh lelaki, malah perempuan yang berusia 16 hingga 25 tahun diwajibkan menyertai Romusha. Rakyat Indonesia yang menyertai Romusha terpaksa melalui zaman keperitan dan kekejaman.
2.3 Kesan Pendudukan Jepun dalam Aspek Sosial
Pendudukan Jepun di Indonesia secara tidak langsung telah memberi pelbagai kesan ke atas sosial masyarakat Indonesia. Hal ini dapat dilihat menerusi peningkatan semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk tempatan sehingga telah mempercepatkan proses tuntutan kemerdekaan di Indonesia. Kekalahan Belanda ke atas Jepun adalah sesuatu perkara yang mengaibkan kerana sebelum ini mereka menganggap kuasa Barat lebih berkuasa daripada kuasa lain sekali gus melenyapkan ‘mitos superioriti’ yang menganggap kuasa Barat sukar untuk dihapuskan. Selain itu, kekalahan Belanda terhadap Jepun sememangnya perkara yang memalukan apabila Belanda gagal menunjukkan sikapnya yang bersungguh-sungguh semasa menentang Jepun. Selain itu, cara mereka diusir dan ditawan merupakan satu penghinaan terhadap kuasa Belanda yang selama ini diagung-agungkan. Kemenangan Jepun telah membuka lembaran baru serta mengubah persepsi masyarakat tempatan bahawa orang Asia yang dianggap lemah juga mampu mengalahkan kuasa Barat yang dahulu dikatakan satu kuasa yang agung dalam dunia penjajahan. Kekalahan Jepun ini secara tidak langsung telah menyebabkan rakyat Indonesia hilang keyakinan terhadap kebolehan Belanda kerana Belanda telah gagal melindungi Indonesia daripada pendudukan Jepun. Kewujudan semangat nasionalisme ini merupakan kesan baik yang diperolehi daripada pendudukan Jepun.
Selain itu,kesan baik yang diperolehi dari pendudukan Jepun ialah wujudnya perpaduan dalam kalangan masyarakat Indonesia. Hal ini demikian kerana, tindakan Jepun untuk menghapuskan pengaruh Barat dengan mengharamkan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Belanda telah mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat seluruh Indonesia. Jepun telah menggalakkan penggunaan Bahasa Jepun, namun para nasionalis Indonesia telah menentang pemaksaan penggunaan Bahasa Jepun sebagai bahasa yang digunakan dalam pentadbiran dan pendidikan. Oleh itu, penggunaan Bahasa Indonesia dipertingkatkan. ‘Bahasa jiwa bangsa’, yang menjadi asas perpaduan sesebuah negara. Penggunaan Bahasa Indonesia ini telah menyebabkan seluruh rakyat Indonesia bersatu dan merasa tiada perbezaan keturunan antara mereka sehingga mengerat hubungan sesama mereka. Rakyat Indonesia bersama-sama meneruskan perjuangan mereka dengan satu tujuan iaitu kemerdekaan. Jepun juga membenarkan kibaran bendera merah-putih sebagai bendera kebangsaan dan nyanyian lagu Indonesia Raya diperdendangkan sebagai lagu kebangsaan telah mengukuhkan lagi semangat nasionalisme rakyat tempatan.
Pendudukan Jepun turut menimbulkan pelbagai implikasi kepada masyarakat Indonesia. Hal ini dapat dilihat ketika pembinaan jalan kereta api maut “death railway” ( menyambungkan Selatan Burma dengan Bangkok melalui Kauburi) yang telah mengerahkan beribu-ribu orang Indonesia untuk dijadikan tenaga buruh paksa. Keadaan ini, boleh dikatakan sebagai bentuk penganiayaan terburuk sekali. Masyarakat Indonesia juga turut dikerah menjadi tenaga kerja secara paksa untuk membangunkan prasarana perang seperti kubu-kubu, jalanraya, lapangan terbang, bekerja di kilang-kilang dan pelabuhan-pelabuhan di samping bekerja di kebun-kebun milik Jepun. Pengerahan tenaga kerja ini berlaku berikutan berlakunya kadar peningkatan inflasi sejak 1943. Melalui pengerahan ini, maka timbulnya masalah kemerosotan kesihatan iaitu, banyak buruh meninggal dunia kerana tidak mempunyai ketahanan melawan penyakit seperti malaria serta mereka meminum air yang belum dimasak yang mengakibatkan tersebarnya wabak taun. Tambahan pula, berikutan daripada kehidupan masyarakat Indonesia yang terpaksa bekerja keras sehingga mengabaikan kesihatan mereka.
Kesan negatif penjajahan Jepun dalam aspek sosial juga meliputi dari sudut pendidikan,komunikasi sosial dan kemanusiaan. Dalam bidang pendidikan, ketika pendudukan Jepun di Indonesia telah memperlihatkan kemunduran berbanding ketika pemerintahan Hindia Belanda. Hal ini kerana, Jepun hanya mewujudkan satu jenis sekolah yang memperuntukkan sesi persekolahan selama lima tahun sahaja. Penyeragaman ini diwujudkan bagi memudahkan penguasaan sekolah tersebut, baik dari segi sukatan pelajaran sehinggalah dalam hal-hal penyelenggaraannya. Penyeragaman ini ternyata tidak memberi faedah terhadap peningkatan pengetahuan masyarakat Indonesia kerana sistem pengajaran dan struktur kurikulum yang digunakan hanyalah tertumpu kepada keperluan perang Asia Timur Raya.
Seterusnya dalam aspek komunikasi sosial, Jepun telah menguasai sepenuhnya media komunikasi seperti surat khabar , majalah, berita, radio, filem dan sebagainya. Surat khabar dan majalah khususnya, tidak boleh diterbitkan tanpa kebenaran pihak Jepun. Selain itu,sebarang pendapat atau cadangan yang tidak sesuai dengan kehendak Jepun, tidak boleh diterbitkan.Surat khabar yang diterbitkan di bawah pengawasan badan-badan yang diwujudkan oleh Jepun diberi nama Jawa Shinbunkai. Dalam hal ini, Jepun telah bertindak menyekat penerbitan surat khabar bahasa Belanda, Cina, dan Indonesia. Hanya surat khabar Tjasaja Timoer dan surat khabar Pemandangan terus diusahakan penerbitanya dengan alasan penyekatan penerbitan ini akan menekan fikiran dan menghalang kemajuan Indonesia.
Dalam aspek kemanusiaan, pendudukan Jepun telah menambah kesengsaraan masyarakat Indonesia. Hal ini demikian kerana, sikap tentera Jepun yang kejam dan sombong terhadap masyarakat Indonesia ketika pemerintahan mereka mengundang kerisauan dan kesempitan dalam kehidupan mereka. Mereka sering dihukum dengan hukuman berat atas kesalahan yang kecil. Sebagai contoh, Jepun telah bertindak zalim dengan memotong kaki bagi golongan yang ingkar. Ternyata corak pemerintahan Jepun adalah lebih menjurus kepada sistem paksa dalam segala aspek termasuk dalam aspek kehidupan masyarakat Indonesia itu sendiri.
Impikasi dari segi agama pula, Jepun telah mempergunakan agama sebagai alternatif terhadap propagandanya. Proses manipulasi agama merupakan tindakan yang amat menonjol. Menurut pendapat Harry Benda, golongan agama merupakan golongan yang menerima impak paling besar berbanding golongan nasionalis dan juga priyayi. Jepun mengambil berat hal ini disebabkan oleh pegangan pribumi yang kuat terhadap agama Islam. Prosedurnya amat mudah sahaja dengan menggunakan institusi masjid dan surau termasuk kelas agama berfungsi menyampaikan dakyah Jepun. Salah satu sebab Jepun mempengaruhi institusi agama adalah berpunca daripada terdapatnya persekongkolan pihak tertentu bersama dengan Jepun. Perkara ini menjadikan sesuatu yang amat bertepatan dengan dasar agama yang ditetapkan di Jepun.
Kesimpulan
Oleh itu, berdasarkan perbincangan yang di atas, jelas menunjukkan bahawa kedatangan Jepun telah memberi kesan yang mendalam kepada Indonesia terutama sekali dari aspek pemerintahan dan politik. Dalam hal ini, tidak boleh menolak sama sekali bahawa terdapat kesan-kesan lain yang wujud akibat daripada pendudukan Jepun ini. Kesan-kesan yang jelas dapat diperhatikan dalam sejarah pendudukan Jepun di Indonesia ialah dari segi politik, ekonomi dan juga sosial. Akibat daripada peluang dalam berpolitik, perubahan ekonomi dan juga sosial secara halusnya telah menyumbang kepada kebangkitan nasionalisme di Indonesia. Perkembangan semangat nasionalisme ini telah membawa satu perubahan yang besar kepada Indonesia apabila Jepun berjanji akan memberikan kemerdekaan kepada Indonesia.
Namun, akibat daripada peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki telah menyebabkan Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945. Kekalahan Jepun telah memyebabkan para nasionalis bimbang kemerdekaan yang pernah dijanji tidak dikotakan. Akibatnya Sukarno telah diculik dan mendakwa beliau mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, tetapi Belanda yang kembali menguasai Indonesia tidak mengikhtiraf kemerdekaan ini. Kesannya berlaku revolusi lima tahun sehingga Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu terpaksa masuk campur dan memaksa Belanda mengikhtiraf kemerdekaan Indonesia pada 27 Disember 1949.







BIBLIOGRAFI
Abd. Aziz Hitam dan Wan Azaham. (1988). Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Ahmad. Pendudukan Jepun (1942-1945) dan Asia Tenggara. Pulau Pinang: Penerbitan
Universiti Sains Malaysia.

Arsip Nasional Republik Indonesia. (1988). Di Bawah Pendudukan Jepang: Kenangan Empat Puluh Dua Orang Yang Mengalaminya. Jakarta: Arsip Nasional Indonesia, Sejarah Lisan No. 4.

Benda, Harry dan John Bastin. (1968). A History of Modern Southeast Asia. Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall.

D. G. E. Hall. (1987). Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Marwati Djoened Poesponegoro dan Nugroho Notosusanto. (1993). Sejarah Nasional Indonesia VI, Balai Pustaka: Jakarta.

M. C. Ricklefs. (1981). A History of Modern Indonesia. London: The Macmillan Press LTD.


M.C Ricklefs. (1992). Sejarah Indonesia Moden. Indonesia: Gajah Mada University Press.

Selo Soemardjan. (1988). Indonesia A Socio-Economic Profile. New Delhi: Sterling Publishers.


Soejito Sosrodihardjo. (1968). Perubahan Masjarakat di Djawa, Suatu Analis. Jogjakarta: Karya.

No comments:

Post a Comment