Wednesday, September 15, 2010

Kemurungan selepas bersalin

SEKITAR 80 peratus daripada wanita mengalami kemurungan selepas bersalin. Fakta tersebut didedahkan oleh Ketua Perkhidmatan Kaunseling dan Psikologi, Kolej Universiti Taylor's, Dr. Adnan Omar pada Forum Kehamilan Danone Dumex Mamil Mama Gold Club baru-baru ini.

"Sokongan emosi daripada suami dan ahli keluarga sepanjang tempoh tersebut sangat penting.

"Jika tekanan emosi mereka berterusan selama lebih dua minggu selepas bersalin, terdapat kemungkinan mereka mengalami postpartum depression (PPD) atau kemurungan selepas bersalin dan perlu mendapatkan rawatan supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk," katanya ketika menyampaikan ceramah kepada 170 bakal ibu, bapa dan nenek di di Grand Dorsett Subang Hotel, Subang Jaya.

Beliau juga menasihatkan para suami supaya menyedari keadaan emosi isteri selepas bersalin.

Menerusi ceramahnya yang bertajuk Menangani Emosi Sebelum dan Selepas Bersalin, Adnan memberitahu, terdapat pelbagai gejala kemurungan sebelum dan selepas bersalin.

Kebimbangan dan kemurungan adalah dua emosi yang biasa dialami oleh bakal ibu semasa dan selepas kehamilan.

Beliau juga berkongsi petua untuk mencegah dan menangani PPD dengan menunjukkan senaman atau cara-cara bernafas yang dapat membantu mengurangkan perasaan gundah gulana itu.

"Ibu-ibu juga perlu mempunyai kumpulan sokongan yang boleh dipercayai seperti suami, keluarga dan rakan-rakan rapat.

"Selain itu, suami dan isteri hendaklah berbincang berhubung pembahagian tugas di rumah semasa isteri mengandung dan selepas kelahiran bayi," ujarnya.

Forum Kehamilan Mamil Mama Gold Club yang masuk tahun kedua itu adalah saluran untuk ibu-ibu hamil membangkitkan sebarang kemusykilan mengenai kehamilan, pemakanan bayi dan kanak-kanak kepada pakar-pakar dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Danone Dumex (Malaysia) Sdn. Bhd., Toni Brendish memberitahu, perjalanan menjadi ibu adalah sesuatu yang baru, unik dan tidak sepatutnya ditempuhi seorang diri.

"Usaha menangani emosi selepas kehamilan, perubahan yang akan dialami oleh bakal-bakal ibu dan bagaimana mereka yang tersayang boleh membantu dalam tempoh peralihan ini sangat penting untuk memupuk keakraban hubungan kekeluargaan," katanya.

Selain Adnan, forum separuh hari itu turut diisi dengan ceramah daripada Datin Debbra Lee dan Gina Yong mengenai Kesejahteraan Umum dan Persediaan Untuk Ibu Menyusukan Bayi, serta pembentangan oleh Dr. Raman Subramaniam, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Pusat Ginekologi dan Perubatan Janin, Kuala Lumpur dan Pengurus Hal Ehwal Perubatan & Saintifik, Danone Dumex (M) Sdn. Bhd., Tan Ee Ping. 

Sumber: Kosmo

No comments:

Post a Comment