Wednesday, September 1, 2010

Penilaian dalam Subjek Sejarah


1.0       Pengenalan               
Penilaian membawa maksud satu kaedah yang digunakan dalam usaha menjawab persoalan sejauh mana ketersampaian maklumat yang telah diberikan oleh seseorang guru berkesan dan dapat diterapkan dalam diri pelajar (Harzi Jamil, 2003). Dalam konteks Pengajaran dan Pembelajaran bilik darjah (P&P), proses penilaian sememangnya sangat perlu kerana kejayaan atau kegagalan proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilihat daripada pelbagai sudut dengan hanya melihat kepada keputusan penilaian yang dilaksanakan dalam suatu sesi pengajaran dan pembelajaran.  
Proses penilaian yang dilaksanakan akan dapat membantu guru-guru khususnya dalam menjawab persoalan-persoalan yang menyentuh tentang keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, kesesuaian isi, kaedah penyampaian, respon pelajar, pemahaman pelajar terhadap sesuatu topik yang dibincangkan dan pelbagai lagi ( Hazri Jamil, 2003 ).  Maka, dalam hal ini dapat dilihat bahawa proses penilaian bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan mata pelajaran sejarah yang umumnya berdepan dengan masalah seperti kekurangan tindak balas positif pelajar yang bosan dengan pembelajaran yang bersifat fakta dan kekurangan bahan bantu mengajar yang sesuai. Oleh yang demikian, proses ini perlu dilihat dari sudut yang lebih sistematik agar proses ini berjaya mengurangkan dan menghindari masalah yang dihadapi oleh golongan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.


2.0       Tujuan Penilaian
Penilaian merupakan elemen pengajaran yang amat penting. Penilaian adalah proses pengumpulan maklumat dan membuat keputusan berkenaan memajukan perkembangan, penguasaan dan pencapaian pelajar dalam pelajaran. Ujian adalah alat pengukuran dalam proses penilaian. Menurut Ashworth (1982) dalam Abd.Rahim Abd Rashid (1989), merumuskan beberapa sebab guru menggunakan ujian iaitu untuk dorongan, diagnosis, menilai, memilih, melapor, membanding dan meramalkan. Manakala, Dorothy C. Adkins (1974) dalam  Abd.Rahim Abd Rashid (1989), menyatakan tujuan umun ujian  pencapaian pendidikan ialah untuk menguji perbezaaan individu, ujian sebagai peramal dan ujian sebagai alat pembantu pengajaran.
2.1       Ujian Dalam  Proses Pengajaran Dan Pembelajaran
Tujuan utama ujian adalah untuk membaiki pelajaran seterusnya membantu dalam membuat keputusan-keputusan pengajaran. Terdapat beberapa asas keputusan yang perlu dibuat oleh guru dalam proses pengajaran. Ini merangkumi kesediaan pelajar melalui pengalaman pembelajaran sebelum sesuatu ujian diberikan di samping memastikan kecekapan guru dalam menjangka kemajuan pelajar berdasarkan pengalaman pembelajaran bagi mata pelajaran Sejarah. Selain itu, ujian juga membantu guru merancang pengajaran dengan lebih berkesan terutama daripada segi isi pelajaran dan aktiviti pembelajaran (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989).
            Seterusnya ialah, guru sejarah dapat mengenal pasti  pelajar-pelajar yang mempunyai masalah-masalah pembelajaran yang serius dan memerlukan pembelajaran secara individu atau kerja-kerja pemulihan. Guru dapat membantu para pelajar yang mempunyai prestasi yang tinggi, dipertingkatkan lagi dengan program pengayaan khas. Ujian juga boleh membaiki keberkesanan cara-cara pembelajaran dengan memberikan maklumat yang lebih objektif. Misalnya ujian penggal (periodic test) boleh memberikan bukti bagi menentukan cara yang sesuai untuk mengelompokkan pelajar bagi pengajaran secara berkumpulan, individu, diagnosis atau pembelajaran pemulihan (Mohd Salleh Lebar , 1996).
2.2       Maklum  Balas kepada Guru
Maklumat  yang diperolehi daripada keputusan-keputusan ujian boleh digunakan bagi menilai pelbagai aspek dalam proses pengajaran. Ia boleh menentukan sejauh mana objektif pengajaran  tercapai ataupun tidak  dan sama ada kaedah pengajaran sesuai ataupun tidak. Keputusan-keputusan ujian bukan sahaja mendedahkan kelemahan pembelajaran individu pelajar, tetapi jika keputusan ujian kumpulan di ambil, ia boleh mendedahkan kelemahan pengajaran guru. Jika keputusan ujian yang sama  diperolehi oleh pelajar adalah rendah, maka terdapat kesulitan pelajar untuk memahami pengajaran guru tersebut. Selain itu, penilaian juga boleh memberi maklum balas kepada guru sama ada semasa proses pengajaran berkesan ataupun tidak. Berdasarkan kekuatan dan kelemahan pembelajaran pelajar, guru dapat membaiki setiap kelemahannya dari aspek kaedah pengajaran dan penyampaian maklumat kepada pelajar (Ron Babbage, Richard Byers & Helen Redding , 1991).
2.3              Diagnosis
Sesuatu ujian diagnosis memberi kesan secara langsung kepada pembelajaran pelajar. Hal ini disebabkan, ujian tersebut bukan sahaja meningkatkan lagi dorongan kepada pelajar, malahan meningkatkan daya ingatan dan transformasi pembelajaran. Di samping itu, guru juga mampu memahami diri sendiri. Dua elemen utama diagnosis adalah diagnosis keperluan dan kemajuan individu serta diagnosis kurikulum dan pengajaran. Diagnosis bagi keperluan dan kemajuan pelajar ialah bermaksud mengenal pasti atau menentukan kelemahan dan kekuatan pelajar dalam sesuatu topik atau sesuatu isi pelajaran. Diagnosis kurikulum dan pengajaran adalah bertujuan mengenal pasti atau menilai cara dan pendekatan pengajaran guru yang berkaitan dengan kelemahan pelajar (Sumber: Hazri Jamil, 2003)
            2.3.1    Dorongan Kepada Pelajar
Sesuatu ujian diagnosis memberi petunjuk dan dorongan kepada pelajar untuk mencapai matlamat jangka pendek yang berkaitan dengan perkara yang perlu dilakukan (persediaan), hasil pembelajaran yang perlu dikuasai dan dicapai untuk ujian berkenaan dan juga memberi maklum balas kepada para pelajar berkenaan prestasi mereka dalam mata pelajaran Sejarah (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989).
            Diagnosis adalah untuk menilai kebolehan pelajar sama ada berdasarkan mengingat kembali fakta-fakta Sejarah, mengaplikasikan prinsip-prinsip, membuat penilaian. Selain itu, diagnosis juga adalah mengkehendaki para pelajar untuk menunjukkan kebolehan yang berbeza-beza mengikut aras ujian dan aras kesukaran ujian tersebut. Oleh yang demikian, ujian yang dibentuk itu boleh mendorong pelajar kepada usaha mencapai hasil pembelajaran melalui peningkatan dalam aktiviti pembelajaran sekaligus membantu pelajar menunjukkan kebolehan dan keupayaan mereka dan membawa kepada daya saing yang positif dalam kalangan pelajar (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989).
            Contohnya ialah, pelajar yang mendapat keputusan yang rendah akan menggunakan diagnosis ini untuk mengatasi kelemahan mereka. Guru Sejarah boleh membimbing pelajar-pelajar tersebut dalam meningkatkan pencapaian mereka. Maka, diagnosis boleh dijadikan asas kepada pembelajaran pelajar.
            2.3.2    Menguatkan Daya Ingatan
Ujian diagnosis dapat membantu menguatkan daya ingatan pelajar. Misalnya, sebelum menghadapi sesuatu ujian, mereka perlu membuat bacaan, latihan dan ulang kaji secara intensif. Pembelajaran intensif akan menguatkan daya ingatan dan proses pemindahan ingatan yang lebih kekal. Ujian diagnosis adalah satu kaedah menggalakkan para pelajar memberi tumpuan dan perhatian terhadap mata pelajaran Sejarah (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989).
            Umumnya, hasil pembelajaran seperti kefahaman, aplikasi dan pentafsiran dapat dikekalkan dengan lebih lama berbanding dengan hasil-hasil pembelajaran pada tahap mengingati pengetahuan. Berdasarkan kepentingan diagnosis dalam penilaian pembelajaran, secara langsung seorang guru Sejarah boleh memberi para pelajar pengukuhan latihan dalam kefahaman kemahiran, aplikasi dan mentafsir yang merupakan aras pembelajaran yang amat penting diuji untuk mata pelajaran Sejarah.
            2.3.3    Memahami Diri Sendiri
Tujuan utama pendidikan ialah untuk membantu seseorang pelajar untuk memahami dirinya dengan lebih baik supaya dapat  membuat keputusan-keputusan yang lebih efektif untuk menilai pencapaian sendiri. Ujian diagnosis tersebut dapat memberi maklumat mengenai kekuatan dan kelemahan pelajar. Melalui hasil keputusan ujian yang diperolehi maka mereka dapat menilai kelemahan dan kekuatan terhadap mata pelajaran Sejarah. Seterusnya, ujian diagnosis juga membantu pelajar mengambil pendekatan untuk merancang kaedah belajar yang sesuai dan berkesan dalam meningkatkan pencapaian mereka dalam mata pelajaran Sejarah. Ujian perlu digunakan untuk meningkatkan pembelajaran bukannya untuk menghukum atau melabel para pelajar (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989).
2.4       Mengekalkan Mutu (Standard)
Penilaian mata pelajaran Sejarah penting bagi tujuan mengekalkan mutu mata pelajaran tersebut. Tujuan ini juga berkaitan dengan mengekalkan mutu akademik dan mutu pendidikan (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1989). Peningkatan mutu akademik bergantung kepada kualiti pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai.  Justeru guru Sejarah perlu mengambil langkah positif untuk mengurangkan jumlah kegagalan pelajar dalam ujian-ujian yang telah diadakan. Ini tidak bermakna ujian-ujian yang diberikan tidak memenuhi kriteria atau prinsip penilaian. Oleh itu keputusan ujian atau penilaian haruslah digunakan bagi tujuan meningkatkan lagi prestasi akademik pelajar. Guru Sejarah juga perlu berusaha meningkatkan lagi kecermelangan akademik mata pelajaran Sejarah dengan meramaikan  lagi jumlah pelajar yang memperolehi keputusan yang cermerlang dalam ujian yang telah diadakan.
2.5       Laporan        
Penilaian bertujuaan memberikan laporan kepada pihak sekolah. Guru sejarah bertanggungjawb menyimpan rekod ujian dan prestasi pelajar. Rekod-rekod ini menggambarkan pencapaian kemajuaan pelajar dalam mata pelajaran sejarah. Tujuan melaporkan biasanya dikehendaki pada setiap pada setiap bulan, penggal atau tahun. Hal ini penting untuk menjadi asas tindakan bersama panitia Guru Sejarah di sekolah, penyeliaan, pemantauan dan pentadbiran pendidikan (Hazri Jamil, 2003).
3.0       Perkembangan Taksonomi Penilaian

Penilaian

Sintesis

Analisis

Aplikasi




Kefahaman

Pengetahuan

Membina, mengembangkan dan menguji kemahiran intelektual

Memberi dan mendapatkan maklumat asas

Tinggi









    Rendah
Rajah 1: Perkembangan Taksonomi Penilaian ( Taksonomi Bloom 1956)
                  (Sumber: Hazri Jamil, 2003)

Berdasarkan Taksonomi Bloom (1956), penilaian merupakan aras tertinggi dalam siri taksonomi tersebut. Penilaian bukan sahaja untuk membina pengetahuan malahan penilaian juga berupaya mengembangkan dan menguji kemahiran intelektual yang telah dikuasai oleh pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran (Hazri Jamil, 2003). Soalan aras pengetahuan adalah soalan untuk menguji tahap pengetahuan pelajar. Ini adalah soalan pada aras yang paling rendah dan mudah. Contoh soalan yang sering digunakan ialah nyatakan, namakan, terangkan dan labelkan. Soalan aras kefahaman pula ialah untuk menguji kefahaman pelajar terhadap sesuatu topik yang diajar. Contoh soalan ialah pilih, terangkan dan tulis semula. Soalan aras aplikasi pula ialah menguji keupayaan dan kebolehan pelajar menggunakan infomasi dan pengetahuan yang diperoleh dalam situasi yang berbeza. Pelajar dikehendaki mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam bentuk penyelesaian masalah dan sebagainya. Contoh soalan adalah selesaikan, ramalkan dan bina ayat.
            Seterusnya ialah soalan aras analisis. Menurut Hazri Jamil (2003), soalan pada aras ini adalah untuk menguji kemahiran pelajar menjana idea daripada idea yang kecil kepada idea yang lebih besar dan bertambah baik sekiranya idea tersebut diterjemahkan dalam luar kotak pemikiran mereka. Contoh soalan ialah bezakan, pastikan dan pilih. Kemudian soalan aras sintesis. Soalan ujian pada aras ini adalah untuk menguji kemahiran pelajar merumuskan idea atau menggabungkan keseluruhan bahagian atau elemen secara menyeluruh. Penggunaan soalan adalah seperti membina, menyusun dan mengembangkan. Soalan pada aras paling tinggi ialah aras penilaian. Soalan jenis ini adalah untuk menguji pelajar dalam membuat penilaian mengenai nilai, idea, rumusan kaedah dan sebagainya. Contoh soalan yang digunakan ialah berikan ulasan dan buktikan.
4.1       Bentuk Penilaian Dalam Sejarah
4.1.1    Penilaian Secara Formatif
Penilaian secara formatif  ini bertujuan menimbangkan mutu yang telah dicapai dan memutuskan siapa yang terbaik untuk menimbangkan potensi atau pencapaian pelajar dalam mata pelajaran sejarah. Penilaian formatif ini melibatkan kaedah pengredan, dan pemilihan (Harzi Jamil, Hashim Othman & Rohizami Yaakub, 2004).  Kaedah pengredan ini ialah satu proses pemberian gred terhadap sesuatu tahap pencapaian pelajar berdasarkan satu peraturan yang telah ditetapkan.
Menurut Loyd  (1997) dalam Abd.Rahim Abd.Rashid (1989), kegunaan penggredan ialah sebagai satu kaedah memberikan satu prosedur yang formal dan bersistematik dalam penyampaian maklumat penaksiran guru tengtang pencapaian pelajar kepada ibu bapa, penjaga, dan lain-lain. Selain itu, kaedah penggredan ini digunakan secara langsung atau tidak langsung dalam sejarah, ini bertujuan untuk memotivasikan pelajar dan memberikan ganjaran kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam sikap dan pembelajaran. Selain itu, kaedah ini difahami oleh setiap pelajar kerana kaedah ini dalam sejarah menentukan gred yang diberikan kepada pelajar. Ciri-ciri kaedah penggredan ini ialah adil untuk semua pelajar, tepat dalam menggambarkan apa yang pelajar telah pelajari, tekal dari segi penggunaan dan boleh dipertahankan kepada pelajar dan lain-lain individu yang berminat dengan sistem penggredan ini.
            Seterusnya, penggredan ini dalam mata pelajaran sejarah melibatkan penggredan rujukan norma dan kriteria (Harzi Jamil, Hashim Othman & Rohizami Yaakub, 2004). Penggredan norma dibentuk sebagai sekumpulan pelajar. Guru akan menggunakan skor daripada kumpulan pelajar berkenaan sebagai kriteria untuk menentukan bagaimana prestasi pelajar lain apabila mengambil ujian yang sama. Melalui kaedah ini guru dapat menilai sejauhmana kemampuan pelajar dalam mata pelajaran ini. Penggredan rujukan kriteria pula ialah menentukan setakat mana pelajar dapat menguasai objektif kursus yang telah ditetapkan oleh guru atau kurikulum. Melalui skor yang diperolehi menggambarkan kecekapan pelajar dengan satu-satu tugasan. Selain itu, gred yang sama akan menggambarkan pencapaian yang sama pelajar dalam ujian yang telah dijalankan melalui kaedah ini.
            Kaedah pemilihan ialah kaedah pemilihan bahan dalam pembelajaran  dan pengajaran. Kaedah pemilihan ini dalam pengajaran mata pelajaran sejarah melibatkan beberapa kriteria pemilihan dan penggunaan alat. Kriteria yang penting dalam pemilihan ini ialah kriteria isi, kriteria aktiviti pembelajaran dan kriteria kaedah pengajaran. Kriteria isi ini merupakan suatu alat yang digunakan mempunyai hubungan dengan isi pelajaran yang hendak diajar. Melalui ini, guru akan melakukan kriteria pemilihan atau penggunaan alat yang perlu ditentukan oleh guru. Ini berkaitan dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan kepada pelajar. Isi pelajaran sejarah yang diajar oleh guru berkaitan dengan fakta-fakta, konsep-konsep, ataupun pengalaman sejarah. Kriteria aktiviti pembelajaran ialah pemilihan dan penggunaan alat untuk pengajaran dan pembelajaran sejarah perlu mengambil kira apakah aktiviti pembelajaran yang akan melibatkan pelajara.
Menurut Joreme A. Bruner (1966) dalam Abd. Rahim Abd. Rashid (1989),  membahagikan pengalaman pembelajaran ini kepada tiga kategori. Tiga kategori ialah pengalaman langsung, pengalaman bergambar dan pengalaman abstrak. Seterusnya, kriteria kaedah pengajaran ialah pemilihan dan penggunaan alat pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sejarah perlu membantu mempermudahkan dan menjadikan pengajaran guru lebih berkesan. Dari segi kaedah pengajaran, guru-guru harus tahu bagaimana alatan tersebut digunakan. Keadaan ini umpamanya, sesuatu alat yang digunakan untuk membantu guru dalam menerangkan fakta atau makulumat sejarah.  Pemilihan dan penggunaan alatan yang sesuai memudahkan objektif guru dicapai dengan lebih berkesan. Melalui pemilihan ini, guru sejarah akan lebih yakin dalam pengajaran dan pembelajaran.

3.1.2    Penilaian Secara Sumatif
Penilaian secara sumatif ini ialah mendapatkan maklumat dan memahami masalah, memutuskan apakah tindakan yang perlu dilakukan dan memeriksa keberkesanan pengajaran dan pembelajaran membantu pelajar cara pelajar sejarah. Penilaian secara sumatif ini melibatkan diagnosis, penilaian dan bimbingan (Bhasah Abu Bakar, 2009). Diagnosis meliputi dua perkara iaitu diagnosis keperluan dan kemajuan individu serta diagnosis kurikulum dan pengajaran. Ia merupakan keperluan dan kemajuan pelajar ialah bermaksud mengenal pasti atau menentukan kelemahan dan kekuatan pelajar dalam sesuatu topik atau kandungan mata pelajaran. Guru mampu menggunakan malumat yang diperolehi untuk merancang dan melaksanakan strategi dalam pengajaran mata pelajaran sejarah.
Penilaian ialah adalah proses pengumpulan maklumat dan membuat keputusan berkenaan memajukan perkembangan, pengguasaan dan pencapaian pelajar dalam pelajaran. Proses penilaian dalam sejarah menggunakan ujian bagi mengukur pencapaian pelajar di dalam mata pelajaran sejarah (Harzi Jamil, 2003). Dalam mata pelajaran sejarah penilaian ini melibatkan penilaian prestasi. Penilaian ini menyediakan cara yang sistematik untuk menilai kemahiran berfikir dan menaakul serta hasilnya yang tidak dapat diukur oleh ujian objektif dan esei yang biasa. Walaupun dalam ujian ini dapat menyediakan data yang menunjukkan pelajar tahu melakukan sesuatu dalam keadaan-keadaan tertentu. Penilaian ini penting dalam mata pelajaran sejarah kerana ia perlu dalam menilai kemahiran-kemahiran sebenar yang sedang dilakukan dalam pengajaran dan pembelajaran setiap hari. Ini akan mengambarkan keberkesanan pengajaran yang dijalankan oleh guru, cara ini amat baik dalam menilai tahap penguasaan pelajar.
Selain itu, tujuan penilaian dalam ujian dalam proses pengajaran-pengajaran ialah menentukan setakat manakah pelajar bersedia dengan pengalaman-pengalaman pembelajaran sebelum ujian diberikan. Melalui keadaan ini penilaian terhadap pelajar mudah dijalankan. Selain itu, guru dapat mengjangka pelajar-pelajar boleh terus maju dengan pengalaman-pengalaman pembelajaran bagi mata pelajaran ini. Penilaian ini juga dapat membantu guru mengenalpasti pelajar-pelajar yang mempunyai masalah-masalah pembelajaran yang serius dan memerlukan pengajaran individu atau kerja-kerja pemulihan khusus.
Bimbingan digunakan untuk membimbing pelajar bagi membaiki kelemahan  yang ada. Melalui maklumat yang diperolehi hasil dari penilaian dilakukan oleh guru, pelajar dapat dibimbing dan diberikan dorongan bagi membaiki serta mengatasi kelemahan pelajar. Bimbingan ini amat penting dalam pengajaran mata pelajaran ini kerana tidak mahu pelajar sukar memahami mata pelajaran ini (Harzi Jamil, 2003). Guru sejarah dalam bimbingan ini, ia memberi tumpuan yang lebih, kerana ia melibatkan penglibatan guru secara sepenuhnya. Pelajar yang lemah akan dapat diubah melalui bimbingan yang wajar oleh guru. Pencapaian pelajar akan meningkat dan secara tidak langsung tahap minat pelajar terus meningkat. Penguasaan pelajar dalam pembelajaran amat penting kerana ia akan melibatkan tahap pencapaian pelajar.
4.2       Penilaian Secara Berterusan
Menurut Kamarudin Hj Husin dan Siti Hajar Hj Abdul Aziz (2004), tujuan utama mengadakan ujian adalah untuk memperbaiki pembelajaran  Ujian membantu dalam membuat keputusan-keputusan pengajaran. Dalam proses pengajaran terdapat banyak mementingkan keputusan yang dibuat oleh guru. Ujian boleh membaiki keberkesanan cara-cara pengajaran dengan memberikan maklumat-maklumat yang lebih ojektif untuk dipertimbangkan. Sebagai contoh, Pra-ujian ( pre-test ) pada awalan sesuatu mata pelajaran boleh membantu menentukan setakat manakah pelajar-pelajar mempunyai latar belakang pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan faedah daripada nota pelajaran. Ujian-ujian penggal ( periodic test ) dan ujian-ujian khusus bila diperlukan boleh memberikan bukti bagi menentukan cara yang paling baik mengelompokkan pelajar untuk pengajaran kumpulan, pengajaran individu, diagnosis dan pembelajaran pemulihan.
            Ujian-ujian mata pelajaran Sejarah perlu dibuat dari masa ke masa bagi tujuan melaporkan kemajuan atau prestasi pelajar. Keputusan-keputusan ujian dicatatkan di dalam buku rekod mengajar guru dan juga di dalam buku kemajuan pelajar. Keputusan-keputusan ujian menjadi maklumat penting yang boleh digunakan untuk melaporkan atau mengesahkan  kebolehan seseorang  pelajar dalam mata pelajaran ini. Menjadi satu kesalahan  jika ada guru-guru yang memberi markah  kepada pelajar mengikut sesuka hati tanpa mengadakan  ujian berasaskan kriteria-kriteria atau prinsip-prinsip penilaian yang sewajarnya ( Rosie Turner-Bisset, 2001).  Oleh sebab penilaian ( termasuk ujian, peperiksaan, tugasan dan lain-lain ) merupakan faktor yang penting terhadap kejayaan dan kegagalan pelajar serta beberapa amalan-amalan yang dibuat oleh pihak guru atau pihak sekolah seperti pemilihan, pengelasan pelajar ( streaming ), menentukan kedudukan pelajar dalam bilik darjah dan sebagainya. Oleh itu, amat penting bagi guru-guru berhati-hati  melaksanakan penilaian, melaporkan dan menggunakan keputusan-keputusan penilaian tersebut supaya ia tidak  menimbulkan masalah  yang tidak diingini.
            Terdapat berbagai-bagai jenis ujian yang boleh dilakukan oleh para guru. Penilaian atau ujian boleh dibahagikan kepada soalan berbentuk objektif jenis pilihan dan soalan  berbentuk esei. Soalan objektif jenis pilihan boleh dibahagikan kepada tiga jenis item penilaian atau ujian iaitu item benar palsu item padanan dan item objektif aneka pilihan (Bhasah Abu Bakar, 2009). Bagi Item benar palsu  soalan ini merupakan soalan jenis dua pilihan. Pelajar dikehendaki menentukan betul atau salah fakta atau kenyataan yang diberikan. Kebiasaannya pilihan yang diberikan adalah seperti benar, ya, betul, palsu. tidak dan salah. Namun dalam soalan ini guru hendaklah memastikan pernyataan atau butiran sebenarnya benar atau palsu. Elakkan pernyataan yang terlalu umum sehingga pelajar yang pandai pun merasa kabur. Terdapat beberapa cara mengelakkan kekaburan iaitu gunakan ayat-ayat yang pendek apabila perlu. Ayat-ayat yang panjang dan kompleks menyebabkan sukar untuk mengenal pasti dalam soalan. Kemudian gunakan bahasa yang lebih tepat semasa menulis pernyataan dan cuba gunakan idea untuk satu item soalan. Penggunaan lebih daripada satu idea mungkin menyebabkan pernyataaan separuh benar atau palsu. Selain itu, jika soalan menyediakan butiran dalam bentuk pendapat, adalah lebih baik jika dinyatakan sumbernya seperti berdasarkan  kepada teks berikut:
“Pada pendapat penulis...” kerana adalah tidak adil mengarahkan pelajar menentukan sesuatu pendapat itu betul atau salah dan akhir sekali cuba gunakan pernyataan yang positif dan elakkan pernyataan yang negatif kerana ini akan mengelirukan calon.
            Soalan jenis item padanan pula sebenarnya mampu menyediakan rangsangan dan beberapa tindak balas. Contohnya, pelajar diminta memadankan atau menyesuaikan rangsangan dengan tindak balas. Tugasan mengehendaki pelajar memadankan masalah dengan penyelesaian atau stimulus dan respon yang betul. Dalam membina soalan jenis item padanan, guru perlu pastikan perkara-perkara seperti pastikan kandungan premis dan kandungan respons atau gerak balas adalah sama jenis dan jangan menggunakan bilangan premis yang sama dengan respons dan berikan arahan sama ada respons boleh digunakan sekali atau lebih atau tidak boleh digunakan langsung. Selain itu, jika menulis ayat premis dan respons hendaklah dengan ringkas tetapi jelas dan tepat malah arahan yang diberikan juga perlulah jelas. Ini kerana  asas perhubungan antara premis dengan respons perlu diberitahu dengan jelas. Kemudian letakkan semua komponen bagi premis dan respons dalam muka surat yang sama. Ini memudahkan calon untuk membaca gerak balas dan premis serta merujuk arahan tanpa membalikkan muka surat.
            Item objektif aneka pilihan ini berbentuk memilih respons dan paling luas penggunaanya. Item ini dapat mentaksirkan dengan berkesan pelbagai objektif mata pelajaran iaitu daripada pengetahuan, kefahaman hinggalah kepada kebolehan membuat pertimbangan, kemahiran dan menyelesaikan masalah, kemahiran mengaplikasikan, kemahiran menganalisis dan kemahiran-kemahiran lain.
            Menurut Bhasah Abu Bakar (2009), bagi soalan objektif berbentuk satu pilihan pula hanya terdapat satu jawapan sahaja yang betul daripada beberapa cadangan jawapan bagi soalan itu. Item objektif berbentuk satu pilihan ini terdiri daripada jawapan yang betul, jawapan terbaik, analogi, negatif dan melengkapkan. Item jawapan yang betul soalan ini berbentuk penyataan yang tidak lengkap dan diikuti oleh beberapa pilihan jawapan. Terdapat hanya satu pilihan jawapan yang betul. Bagi jawapan terbaik pula semua jawapan yang diberikan dalam soalan jenis ini adalah munasabah namun terdapat  satu jawapan yang paling tepat atau terbaik. Analogi pula soalan jenis ini dikemukakan dalam bentuk pasangan perkataan dan diikuti oleh jawapan yang terdiri dari empat pasangan perkataan. Pelajar diminta memilih pasangan yang sama cirinya. Manakala item negatif pula soalan jenis ini meminta pelajar memilih kenyataan yang bertentangan dengan kenyataan yang diberikan. Soalan yang bercorak seperti ini selalunya mengandungi perkataan bukan, kecuali, tidak benar dan paling kurang. Kesemua pilihan jawapan adalah betul kecuali pilihan yang salah. Item melengkapkan pula soalan jenis ini memerlukan pelajar mencari jawapan yang paling tepat bagi melengkapkan pernyataan yang diberikan.
            Selain itu, terdapat juga soalan berbentuk aneka gabungan. Soalan ini memerlukan pelajar memilih jawapan yang betul. Jawapan yang diberikan terdiri daripada gabungan pernyataan. Pernyataan yang diberikan bagi setiap soalan itu adalah saling berkait antara satu sama lain. Ujian berbentuk soalan esei- subjektif adalah merupakan soalan yang bertujuan melihat kebolehan pelajar mengeluarkan pendapat dan menganalisis secara mendalam tentang persoalan yang diberikan (Bhasah Abu Bakar, 2009). Soalan ini mempamerkan kedalaman pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki pelajar. Item subjektif mampu disesuaikan bagi menguji tahap kognitif yang lebih tinggi seperti mentaksirkan kemahiran menganalisis,mensintesiskan atau membuat pertimbangan mengenai sesuatu perkara yang memerlukan pelajar berfikir secara kreatif dan kritis. Selain itu juga, item subjektif juga memberikan kebebasan yang luas kepada pelajar bukan sahaja daripada segi menjawabnya tetapi juga panjang atau pendek jawapannya. Jenis item esei bolehlah dikategorikan seperti Item respons terbuka, Item berpandu, Item respons terhad dan Item berstruktur.
            Item respons terbuka ini mengandungi pelbagai kemungkinan jawapan daripada pelajar secara bertulis. Pelajar diberi peluang menjawab secara bebas dengan menghuraikan idea atau pendapat mereka. Soalan biasanya menggunakan istilah-istilah seperti huraikan, bagaimanakah, mengapakah, bincangkan, bandingkan dan sebagainya. Bagi item berpandu pula memerlukan pelajar mengemukakan respons berdasarkan rangsangan. Lazimnya menggunakan stimulus seperti gambar rajah, gambar foto, peta, carta, jadual dan sebagainya untuk memandu pelajar memberikan respons. Pelajar dikehendaki menjawab soalan berdasarkan stimulus yang disediakan. Cara mengemukakan soalan-soalan jenis ini selalunya berdasarkan proses mental dari yang mudah hinggalah ke peringkat yang tinggi mengikut taksonomi Bloom. Kata tugas yang digunakan seperti “Apakah”, “Siapakah”, “Bilakah”, selalu digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang pengetahuan. Manakala istilah-istilah seperti “Bandingkan”, “Bezakan”, “Terangkan”, “Huraikan”, “Bincangkan”, “Rumuskan” dan “Simpulkan” digunakan untuk mendapatkan maklumat bagi konstruksi yang kompleks (Bhasah Abu Bakar, 2009),
Item respon terhad pula berkecenderungan mengehadkan bentuk dan respon pelajar. Bentuk respon biasanya dihadkan melalui skop yang disoal. Manakala panjangnya respon daripada segi ruangan jawapan yang disediakan. Biasanya item memerlukan pelajar memberikan jawapan dalam satu frasa atau beberapa atau satu perenggan. Manakala item berstruktur pula ialah suatu siri soalan yang berkaitan dengan sesuatu proses yang dikemukakan satu persatu. Jawapan yang diberikan adalah keseluruhan proses yang berkenaan. Soalan berstruktur ialah dalam jenis item respons terhad. Siri soalan yang mengandungi maklumat pokok item. Pelajar dikehendaki mengkaji maklumat tersebut dan seterusnya memberi respons kepada maklumat tersebut dengan menjawab persoalan daripada pokok item tersebut.
            Perkara-perkara yang perlu dijadikan panduan  untuk pembinaan item subjektif atau soalan berbentuk esei adalah pertama keperluan menulis item, soalan hendaklah jelas dari segi tugasan dan perkataan, soalan yang dikemukan hendaklah jelas dan tepat. Maka jauhkan daripada soalan-soalan yang memerlukan jawapan “ya” atau “tidak” dan soalan-soalan yang dibina  hendaklah berkemampuan untuk membezakan pelajar lemah, sederhana atau cemerlang dari segi perbendaharaan kata serta konsep dalam tajuk hendaklah sesuai dengan sebilangan besar pelajar (Bhasah Abu Bakar, 2009).
            Keperluan menulis item soalan yang hendak dibina mestilah berdasarkan Jadual Penentu Ujian (JPU) yang telah ditetapkan (Bhasah Abu Bakar, (2009). Soalan digunakan untuk mentaksirkan perkara yang hendak diperkembangkan dalam diri pelajar melalui mata pelajaran sejarah. Guru yang menulis item mestilah mengetahui spesifikasi item yang akan dibina seperti jenis item subjektif, konstruksi dan tajuk, aras kesukaran ( berasaskan pertimbangan profesional guru ), peruntukan markah dan jenis pemarkahan. Selain itu, pelajar sepatutnya tidak dikelirukan dengan apa yang dikehendaki oleh soalan. Tajuk atau topik yang digunakan untuk menguji konstruksi tertentu biarlah yang sebenarnya menguji kebolehan pelajar untuk menjawabnya dan bukannya meneka kehendak soalan. Pelajar mesti faham apa yang diperlukan bagi menjawab soalan .
Seterusnya, guru tidak seharusnya menggunakan perkataan yang tidak berfungsi sebagai hiasan. Soalan biarlah terus tetapi jangan terlalu ringkas sehingga boleh mengelirukan pelajar dan menjadikan tugasannya tidak menepati kehendak soalan. Topik atau soalan yang dikemukakan oleh bersesuaian dengan kebolehan pelajar. Pelajar yang sederhana sepatutnya dapat menjawab soalan pada aras mudah dan sederhana sukar. Manakala pelajar-pelajar dari kelas yang pandai dapat menunjukkan kecerdasannya dengan menjawab soalan yang mudah, sederhana dan sukar. Soalan yang dibina sepatutnya memberi peluang kepada pelajar yang pintar untuk menjawab dengan lebih mendalam. Di samping itu, sesuatu topik yang sukar hanya dapat mengasingkan pelajar yang cemerlang daripada pelajar yang lain. Guru sejarah hendaklah berhati-hati dan teliti dalam  membina soalan yang berkaitan dengan topik atau tajuk-tajuk yang melibatkan isu politik, ras, agama, kebudayaan atau sebagainya yang sensitif (Harzi Jamil, 2003).  Penggunaan perkataan yang sesuai dan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak atau kumpulan tertentu perlulah diberikan perhatian sewajarnya oleh guru agar soalan yang dibina tidak menunjukkan bias tertentu seperti bias budaya, agama, kaum dan sebagainya. Ini akan menunjukkan guru bersifat objektif dalam proses pembinaan item penilaiannya dan dapat mengelakkan sebarang kontroversi yang mungkin timbul.
            Soalan yang akhir sekali paling sesuai  adalah melalui kaedah lisan. Guru sejarah juga boleh menggunakan kaedah penilaian lisan bagi menguji pengetahuan dan kemahiran pelajar. Ujian lisan dapat digunakan bagi membuktikan pencapaian pelajar dari segi mengemukakan pendapat dan mempertahankan hujah dan menguji kebolehan daripada segi sebutan dan kelancaran bertutur (Mohd Salleh Lebar,1996). Perkara yang dikemukakan perlu didengar dengan teliti, memproses apa yang didengar dan menyampaikan maklumat, idea dan perasaan dengan secara verbal. Guru boleh menggunakan gambar, petikan, rakaman perbualan, tayangan video sebagai agen stimulus. Dalam melaksanakan ujian atau penilaian berbentuk lisan, perkara-perkara berikut perlu diberikan pertimbangan iaitu tujuan ujian, perkara atau konstruksi yang hendak diukur, menepati tajuk, penggunaan laras bahasa yang sesuai, soalan yang jelas dan fokus, elakkan soalan yang memerlukan pelajar mengemukakan soalan semula dan sediakan skema permarkahan.
4.0       Kesimpulan
Daripada apa yang telah dibincangkan diatas, dapat disimpulkan bahawa, proses penilaian yang dilakukan dalam bilik darjah harus melalui satu tahap ke tahap yang lain. Dalam erti kata yang lainnya, proses secara tersusun dan sistematik dititikberatkan agar penilaian yang dilakukan dapat mencapai objektifnya. Kegagalan memahami proses ini akan mengakibatkan terganggunya kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh seseorang guru. Hal ini kerana proses penilaian merupakan salah satu daripada kompenen penting semasa melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Walau bagaimanapun, keberkesanan proses ini juga berganung kepada kebijaksanaan guru menyesuaikan proses yang berlaku dengan keadaan semasa pelajar dan bilik darjah. Guru mata pelajaran Sejarah khususnya harus mempunyai kemahiran yang baik untuk melihat perhubungan antara proses pengajaran, maklumat yang disampaikan, kaedah pengajaran, bahan yang digunakan dengan tindak balas dan reaksi pelajar terhadap perkara-perkara tersebut.












No comments:

Post a Comment