Wednesday, September 1, 2010

Sejarah~Kerjasama Serantau~

1.0 Pengenalan

Kerjasama serantau merupakan usaha Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya untuk menyekat peluasan kuasa dan pengaruh komunisme di dalam masyarakat antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua. Malah, pertubuhan kerjasama serantau selepas Perang Dunia Kedua bermula dengan pertubuhan pertahanan yang dilihat terpenting dalam suasana Perang Dingin. Walaubagaimanapun, wujudnya beberapa jenis kerjasama serantau yang berkembang pada era Perang Dingin iaitu alliance, alignment, non-alignment dan regionalism ataupun dikenali sebagai kerjasama serantau.
Dalam erti kata yang lain, kerjasama serantau adalah konsep politik antarabangsa yang melibatkan kerjasama ataupun alignment antara negara yang berkedudukan geografi yang dekat antara satu sama lain. Selain itu, kerjasama serantau tidak melibatkan kerjasama dalam bidang keketenteraan sebaliknya kerjasama yang lebih berfokus kepada aspek sosio-budaya, ekonomi dan politik antarabangsa iaitu mengekalkan keamanan dan kemakmuran sesebuah rantau.

2.0 KERJASAMA SERANTAU DI ASIA TENGGARA

Kerjasama serantau di Asia Tenggara bermula pada tahun 1954 iaitu Southeast Asia Treaty Organization (SEATO) yang ditubuhkan atas usaha AS. SEATO dianggotai oleh Thailand dan Filipina. Penubuhan SEATO adalah bagi menyekat perluasan pengaruh komunis di Asia Tenggara selepas peristiwa kejayaan komunis bertapak di Indochina. Selepas tahun 1960 an, kerjasama serantau mula berkembang dengan pesat dengan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) pada tahun 1961, diikuti oleh Persekutuan Malaysia-Filipina-Indonesia (MAPHILINDO) pada tahun 1963 dan kemuncak kerjasama serantau dengan penubuhan Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) pada tahun 1967.

Jika kita perhatikan, penubuhan ASA adalah disertai dengan Perisytiharan Bangkok pada 1 Ogos 1961. Malah, tujuan ASA adalah menggalakkan kerjasama dalam bidang ekonomi, kebudayaan, dan menubuhkan satu mekanisme yang berkesan untuk perundingan serta ingin menjadikan ASA sebagai sebuah pertubuhan bebas yang tidak terikat kepada mana-mana blok kuasa. Sungguhpun begitu, ASA tidak mempunyai tujuan politik tetapi hasrat yang tersirat menunjukkan arah politik dan keselamatan. Hal ini jelas dilihat, dengan keadaan ekonomi yang lebih terjamin akan mengurangkan berkembangnya pengaruh fahaman komunis.

Selepas kegagalan ASA untuk mewujudkan hubungan baik dalam kalangan negara Asia Tenggara, MAPHILINDO telah ditubuhkan bagi menggantikan ASA. Tujuan penubuhan MAPHILINDO adalah mewujudkan keamanan dan kestabilan rantau Asia Tenggara melalui hubungan erat dengan negara-negara Asia Tenggara melalui konsep penyatuan rumpun Melayu. Walaubagaimanapun, penubuhan MAPHILINDO yang sebenarnya adalah untuk menyelesaikan masalah pembentukan Malaysia yang di cadangkan oleh Tunku Abdul Rahman dan memelihara hubungan baik Malaysia dengan Filipina dan Indonesia yang terjejas oleh idea pembentukan Malaysia. Perundingan yang kerap di semua peringkat diadakan di antara ketiga-tiga negara berdasarkan persetujuan memelihara perhubungan persaudaraan. Namun begitu, MAPHILINDO mengalami nasib yang sama dengan ASA apabila Indonesia melancarkan Konfrontasi ke atas Malaysia pada 17 September 1963 sehingga gagal mewujudkan keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.

Selepas berakhirnya Konfrontasi, ASEAN telah ditubuhkan semasa Deklarasi Bangkok 1967 yang telah membuka lembaran baru dalam kerjasama serantau di Asia Tenggara. Malah, matlamat penubuhan ASEAN adalah untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, sosial dan perkembangan budaya serantau. Peryertaan dalam ASEAN diperluaskan kepada negara Asia Tenggara yang lain seperti Brunei menyertai ASEAN pada tahun 1984 dan Vietnam tahun 1995. Dengan demikian, dapat dikatakan bahawa, ASEAN merupakan negara kerjasama serantau yang berjaya dan berkesan dalam mewujudkan hubungan baik antara negara anggota sehinggakan rantau Asia Tenggara menjadi aman damai dan stabil. Kejayaan ini disebabkan oleh ASEAN mengamalkan dasar hidup bersama secara aman yakni setiap negara di rantau ini mestilah menghormati kedaulatan dan keutuhan sesebuah negara dan tidak boleh mencampuri urusan negara ASEAN yang lain.




3.0 KEKUATAN DAN KELEMAHAN KERJASAMA SERANTAU DALAM SOSIAL

3.1 KEKUATAN

3.1.1 Kerjasama Dalam Pendidikan

Melalui kerjasama serantau yang dilakukan antara negara ini, setiap negara dapat bertukar-tukar pengetahuan dalam bidang pendidikan. Ini dapat dilihat melalui program-program yang dilakukan oleh ASA ketika ianya masih berfungsi. Antara program yang dilakukan adalah pertukaran tenaga pengajar antara ahli anggota. Pertukaran tenaga pengajar di antara universiti contohnya, pertukaran tenaga pengajar antara Universiti Malaya dengan Universiti Filipina pada tahun 1965. ASA juga bercadang mengadakan kemudahan latihan dan penyelidikan untuk kepentingan bersama dan mepertingkatkan pengajian tentang Asia Tenggara.
Disebabkan ASA telah dibubarkan atas sebab-sebab tertentu, namun, kerjasama dalam pendidikan ini tidak terhenti disini. Malah, dalam ASEAN juga, negara ahli ligat melakukan kerjasama dalam pendidikan sehingga tertubuhnya Southeast Asian Ministers Of Education Organization (SEAMEO). SEAMEO ditubuhkan pada bukan November 1965 di Bangkok dan piagamnya ditandatangani pada Februari 1968. Selain itu, Indonesia juga pernah menghantar 17 orang pensyarah bagi sesi pertama UKM yang dibuka pada 1970. Selain dapat mengeratkan perhubungan antara negara, ianya dapat menambahkan input-input yang berguna terutamanya dalam pendidikan. Peri pentingnya sumbangan Indonesia dalam perlaksanaan UKM dan dasar pelajaran kebangsaan dinyatakan oleh dua tokoh nasionalis melayu, iaitu Datuk Professor Zainal Abidin Wahid dan Datuk Abdul Rahman Yaakub. Kerjasama ini dapat meningkatkan ilmu pengetahuan serta persefahaman dan membantu pendidik agar mereka dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan kemasyarakatan di negara masing-masing.

3.1.2 Kerjasama Dalam Kebudayaan

Kerjasama dalam kebudayaan dimulai dalam penubuhan ASA. Disebabkan Negara anggota ASA merupakan negara yang hampir sama ataupun serumpun, maka, kerjasama dalam bidang kebudayaan penting supaya negara anggota dapat memahami kebudayaan masing-masing dan secara tidak langsung mampu untuk meningkatkan tahap kepercayaan antara negara anggota.

Kerjasama dalm kebudayaan ini diteruskan dalam SEAMEO. Walaupun SEAMEO merupakan pertubuhan yang lebih cenderung dalam bidang pendidikan, namun, tujuan utama penubuhannya adalah menggalakkan kerjasama dalam kalangan Negara Asia Tenggara dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan. Antara contoh kerjasama dalam bidang kebudayaan ini adalah pesta filem dan pertunjukan kebudayaan ASEAN.

3.1.3 Mengatasi Isu Pelarian

Peperangan saudara di Kampuchea ini menyebabkan ramai rakyat Kampuchea menjadi pelarian perang. Isu pelarian perang Kampuchea memberi masalah kepada negara Asia Tenggara seperti Thailand yang menerima hampir 17,000 pelarian Kampuchea setiap bulan pada tahun 1979 . Selain Thailand, Malaysia juga tidak terlepas daripada masalah pelarian ini. Menjelang 1988 pula, seramai 13 000 orang pelarian Vietnam ditempatkan di kem pelarian sementara di Sungai Besi dan Pulau Bidong di Terengganu. Selain itu, isu pelarian ini juga menyumbang kepada dampak kemerosotan hubungan negara ASEAN dengan Vietnam. Isu pelarian perang ini telah menyebabkan rantau Asia Tenggara menjadi tidak aman, iaitu kehadiran mereka ini menyebabkan masalah sosial dan penyakit serta membebankan negara Asia Tenggara yang terpaksa menyediakan bekalan makanan dan ubatan bagi pelarian perang yang datang ke negara mereka dan menyebabkan kesukaran menampung mereka. Bagi mengatasi masalah pelarian ini, ASEAN berpendapat keamanan negara Kampuchea perlu dikembalikan.
Oleh itu, ASEAN telah menyusun beberapa strategi untuk mengatasi masalah tersebut seperti meminta kerjasama daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Orang pelarian (United Nations High Commision for Refugees- UNHCR). Selepas itu, ASEAN telah memujuk Vietnam menerima rancangan Perpindahan Secara Teratur dan memujuk pelarian Vietnam supaya pulang ke negara asal mereka. Usaha untuk mencari negara ketiga bagi pelarian Vietnam sebagai penempatan baru. Malaysia berjaya mendapat sokongan Amerika Syarikat, Australia, Belanda, Belgium, Britain, Jerman Barat, Kanada, Norway, Perancis dan Sweden untuk menerima pelarian Vietnam yang layak.

3.2 KELEMAHAN

3.2.1 Tidak Mampu Mewujudkan Perpaduan.

Walaupun kerjasama serantau ini adalah berdasarkan rumpun yang sama, namun, ianya masih tidak mampu untuk mewujudkan perpaduan antara negara anggota. Contohnya, ketika berlakunya konfrontasi Indonesia dan Malaysia, walaupun terdapatnya pertubuhan ASA yang menjadi tunjang kepada kerjasama serantau pada ketika itu, ianya tidak menjadi halangan bagi Indonesia untuk menjalankan penentangan kepada rancangan penubuhan Malaysia. Begitu juga tuntutan Filipina terhadap Sabah dan Sarawak. Ini bermakna, walaupun matlamat kerjasama ini adalah untuk mewujudkan perpaduan antara negara anggota, namun, kepincangan perpaduan yang berlaku menunjukkan kerjasama ini adalah di atas nama perpaduan semata-mata dan program-program penyemaian perpaduan adalah pada tahap yang terlalu sedikit.

4.0 KEKUATAN DAN KELEMAHAN KERJASAMA SERANTAU DALAM POLITIK

4.1 KEKUATAN

4.1.1 Menggelakkan Campur Tangan Kuasa Asing

Menggelakkan campur tangan kuasa asing dalam urusan Asia Tenggara amat penting bagi menggelakkan rantau Asia Tenggara menjadi tempat dalam mengembangkan pengaruh dan kuasa besar dunia seperti Soviet Union dan AS yang boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan serta kedaulatan negara-negara di rantau Asia Tenggara. Peranan kerjasama serantau dalam menggelakkan campur tangan kuasa asing di rantau Asia Tenggara bermula dengan penubuhan ASEAN pada tahun 1967.
ASEAN ditubuhkan bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan negara-negara anggota dan menggelakkan campur tangan kuasa asing di Asia Tenggara seterusnya mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau ini. Kemampuan ASEAN menggelakkan campur tangan kuasa asing di Asia Tenggara dapat dilihat melalui prinsip asas berkecuali yang diamalkan oleh negara-negara anggota ASEAN. Melalui konsep ini, kuasa asing terutamanya kuasa-kuasa besar mesti keluar dari rantau ini. Konsep ini telah diperkukuhkan lagi melalui pengisytiharan Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali atau ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) pada tahun 1971 yang menjadi rantau Asia Tenggara bagi kawasan bebas dari sebarang kuasa dunia.

4.1.2 Kejayaan dalam Menangani Isu Kampuchea

Penyelesaian isu Kampuchea telah membuktikan kejayaan dalam kerjasama serantau yang mampu membentuk suasana aman damai di Asia Tenggara. Isu Kampuchea bermula dengan serangan Vietnam ke atas Kampuchea pada tahun 1978. Dalam serangan tersebut, Vietnam berjaya mengulingkan pemerintahan Kampuchea yang dikuasai oleh Khmer Rouge atau Demokratik Kampuchea (DK). Kerajaan Vietnam telah mendirikan kerajaan boneka di Phnom Penh iaitu Rejim Heng Samrin pada Januari 1979 bagi menggantikan kerajaan Khmer Rouge. Walaubagaimanapun, isu Kampuchea bertambah serius apabila berlaku perang saudara antara Rejim Khmer Rouge dengan Rejim Heng Samrin di Phnom Penh bagi merampas semula tampuk pemerintahan Kampuchea. Perang saudara ini menyebabkan ramai rakyat Kampuchea menjadi pelarian perang.

Namun, negara ASEAN telah bertindak dengan segera dalam memainkan peranan penting bagi mengatasi konflik Kampuchea yang telah menganggu kestabilan dan keamanan rantau Asia Tenggara. ASEAN telah mengutuk serangan Vietnam ke atas Kampuchea kerana serangan tersebut bertentangan dengan prinsip yang didokong oleh ASEAN iaitu konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Mengikut konsep ini seluruh kawasan Asia Tenggara merupakan kawasan aman, bebas dan berkecuali dan mana-mana negara Asia Tenggara tidak boleh menyerang atau mencampuri urusan negara Asia Tenggara.
Bagi mengatasi masalah ini, ASEAN telah membawa Konflik Kampuchea ke Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Bangkok pada Januari 1979. Dalam mesyuarat ini, ASEAN juga bersetuju untuk meminta bantuan dari PBB bagi mengatasi konflik Kampuchea yang menganggu keamanan dan kestabilan rantau Asia Tenggara. Akhirnya konflik Kampuchea berjaya diselesaikan secara aman pada tahun 1982 melalui penubuhan kerajaan campuran di Kampuchea. Kemampuan ASEAN menyelesaikan konflik Kampuchea dengan cara perbincangan dan tekanan serta menggelakkan menggunakan ketenteraan menyebabkan rantau Asia Tenggara kembali menjadi aman damai semula.

4.1.3 Penyelesaian Konflik di Asia Tenggara Secara Aman

Permasalahan isu ini diselesaikan tanpa melibatkan peperangan tetapi diselesaikan melalui meja rundingan. Malah, negara yang berhak dalam menyelesaikan masalah ini adalah satu-satunya negara yang ditubuhkan dalam menyelesaikan masalah bantahan Indonesia dan Filipina terhadap cadangan pembentukan Malaysia. Negara yang dimaksudkan ialah MAPHILINDO yang ditubuhkan oleh Malaysia, Filipina dan Indonesia pada Julai 1963.

Melalui MAPHILINDO, ketiga-tiga negara bersetuju untuk duduk semeja bagi berbincang dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi konflik pembentukan Malaysia. Hasilnya, ketiga-tiga negara sepakat untuk menyelesaikan masalah ini secara aman dengan bantuan PBB dengan meminta PBB menjalankan pungutan suara penduduk Sabah dan Sarawak mengenai pembentukan Malaysia.

Selain itu, Kerajaan junta Myanmar menjadi tumpuan dunia ekoran pelanggaran hak asasi manusia dan demokrasi serta penahanan Aung San Suu Kyi. Aung San Suu Kyi ditahan kerana beliau merupakan anak kepada Bogyoke iaitu Major Jeneral Aung San. Akibat daripada itu, ASEAN telah berusaha keras untuk menyelesaikan masalah ini, namun Myanmar ternyata tidak begitu berminat dengan penglibatan ASEAN dalam menangani isu tersebut. Malah, Myanmar telah menjemput Setiausaha Rendah Hal Ehwal Politik PBB, Ibrahim Gambari untuk ke Yangoon. Sedangkan, semasa ASEAN menghantar wakil, mereka tidak berkesempatan untuk bertemu dengan pemimpin Myanmar. Walaubagaimanapun, ASEAN tidak menganggap bahawa situasi ini adalah tamparan bagi mereka malah menganggap pembabitan PBB adalah langkah terbaik dalam mengendalikan isu berhubung Myanmar memandangkan ASEAN amat mematuhi dan menggalakkan dasar tidak campur tangan.

Syed Hamid selaku wakil Menteri Luar ASEAN telah mengulangi pendirian ASEAN bahawa tidak akan meminggirkan Myanmar sebaliknya akan terus mengekalkan kedudukan Myanmar dalam ASEAN kerana berminat dengan kebajikan rakyat Myanmar. Walaubagaimanapun, ASEAN tetap dengan pendirian mereka iaitu meminta Myanmar mempercepatkan proses pembaharuan demokrasinya secepat mungkin dan menggesa pembebasan tahanan politiknya. Tambahan pula, ASEAN turut berpendirian bahawa besar kemungkinan isu Myanmar dapat diselesaikan melalui rundingan dan tolak-ansur.

4.2 KELEMAHAN

4.2.1 Gagal Untuk Mewujudkan Kesepakatan Dalam Kalangan Anggota

Kegagalan ini dilihat dalam penubuhan ASA. Ini kerana, walaupun matlamatnya adalah untuk mewujudkan keamanan, namun, kesepakatan antara negara angggota adalah kurang. Ini ditunjukkan dengan konfrontasi Indonesia – Malaysia. Selain itu, selepas kewujudan ASEAN, kesepakatan antara negara juga masih lagi kurang. Ini dapat dilihat apabila dalam konsep ZOPFAN, terdapat juga negara anggota yang tidak bersetuju dengan konsep tersebut terutamanya Vietnam. Ini kerana, Vietnam Utara memberikan reaksi yang agak negatif terhadap gagasan ZOPFAN dan mengemukakan konsep ZOGIPAN (Zone Of Genuine Independence, Peace And Neutrality).

Perkara ini dinyatakan oleh wakil Vietnam Utara iaitu Nguyen Thanh Le pada 20 januari 1972 dalam sidang akhbar di Paris bahawa Vietnam Utara mahukan kawasan yang benar-benar berkecuali di rantau ini. Penegasan ini diulangi lagi oleh wakil Vietnam Utara di Kuala Lumpur pada November 1972 ketika diminta mengulas mengenai pengecualian Asia Tenggara. Ulasan tersebut antara lain berbunyi “ apa yang kita mahu adalah menubuhkan kawasan berkecuali yang tulen, aman, bebas dan berkecuali meliputi negara-negara di rantau ini” (Utusan Malaysia: 1972:8).

Selain Vietnam Utara, Laos juga secara terang-terangan turut menentang ZOPFAN dan pendirian ini ditegaskan melalui wakli mereka yang mendakwa pengistiharan tersebut lebih bertujuan untuk mengaburi mata dunia terhadap tindakan Amerika Syarikat dalam konflik di Indochina khususnya Vietnam, Laos dan Kemboja serta mengalihkan perhatian dunia daripada perkara tersebut kepada tindak tanduk ASEAN. Oleh itu, daripada contoh di atas, jelas menunjukkan bahawa walaupun konsep yang diamalkan adalah di atas tiket ASEAN, namun, kesepakatan dalam penubuhan konsep adalah dalam keadaan yang sangat mendukacitakan.

4.2.2 Kegagalan Mencari Penyelesaian.
Namun, ASEAN juga gagal mencari penyelesaian bagi konflik Kepulauan. Antaranya perebutan kepulauan Spratly. Ini kerana semua negara ASEAN berminat hendak memiliki Kepulauan Spratly bagi menikmati hasil kekayaan Kepulauan Spratly dan mereka tidak mahu berkongsi dengan negara lain. Konflik tuntutan terhadap Kepuluan Spratly bermula pada tahun 1950-an lagi. Tuntutan pertama terhadap Kepulauan Spratly bermula dengan negara Filipina pada Mei 1956, yang mendakwa Kepuluan Spratly adalah hak miliknya berdasarkan penemuan yakni Kepuluan Spratly telah ditemui oleh penduduk Filipina yang bernama Thomas Cloma.
Kemuncak konflik ini berlaku pada tahun 1972, apabila Filipina secara rasmi mengisytiharkan beberapa pulau di Kepulauan Spratly seperti Kepulauan Kayalan menjadi milik Filipina. Selain itu, Vietnam juga mendakwa Pulau Spratly adalah hak miliknya. Vietnam telah menghantar tenteranya berkawal di sekitar Pulau Spratly pada Julai 1956 bagi mengelakkan negara lain mencerobohi Kepulauan Spratly. Malaysia dan Brunei juga tidak terkecuali menuntut hak terhadap Kepulauan Spratly dengan alasan kepulauan tersebut terletak dalam Zon Ekonomi Eksklutif (ZEE) yang membenarkan negara mengurus dan menggunakan sumber Kepulauan Spratly.

Pada tahun 1988, konflik tuntutan Kepulauan Spratly menjadi bertambah serius apabila Republik Rakyat China campur tangan dalam konflik Kepulauan Spartly dengan mendakwa Kepulauan Spratly adalah milik China dan menghantar tenteranya berkawal di sekitar perairan Kepulauan Spratly. Tindakan China ini telah menggugat keamanan dan kestabilan Asia Tenggara apabila berlaku pertempuran antara tentera Vietnam dengan tentera China. Walaupun konflik tuntutan Kepulauan Spratly ini telah dibawa ke ASEAN bagi mencari jalan penyelesaian, namun ASEAN gagal mencari penyelesaian bagi konflik ini kerana semua negara ASEAN berminat hendak memiliki Kepulauan Spratly. Akhirnya, ASEAN menyelesaikan masalah ini melalui meja rundingan dan menggunakan PBB sebagai tempat terakhir untuk menyelesaikan konflik ini. Ini menunjukkan, ASEAN masih tidak mampu menyelesaikan masalah hanya dalam kalangan ahli anggota tetapi terpaksa menggunakan khidmat PBB.

5.0 KEKUATAN DAN KELEMAHAN KERJASAMA SERANTAU DALAM
EKONOMI

5.1 KEKUATAN

5.1.1 Mengurangkan Jurang Kemiskinan

Pasaran bebas yang dimaksudkan adalah semua produk keluaran negara anggota ASEAN boleh menembusi pasaran sesama negara anggota tanpa dikenakan sebarang tarif atau tarif yang minimum. AFTA yang dilaksanakan menerusi Skim Tarif Keistimewaan Sama Rata (Common Effective Prefential Tariff Scheme-CEPT) telah memberikan sumbangan kepada jumlah perdagangan antara negara anggota ASEAN iaitu peningkatan sebanyak 34 % daripada kira-kira US$ 44 bilion pada tahun 1993 kepada US$ 59 bilion pada tahun 1994 dan berjaya menghapuskan tarif ke atas 11 sektor utama.

Pertumbuhan ekonomi yang baik mampu mengurangkan jurang perbezaan kemiskinan. Malah, ASEAN turut menjalankan beberapa rancangan berpaksikan ekonominya mengikut kawasan. Antaranya, menubuhkan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Singapura (IMS-GT) dan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT). Kawasan pertumbuhan ini diwujudkan bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama dalam bidang ekonomi seperti industri, infrastruktur, pelancongan, pertanian, telekomunikasi dan tenaga. Malah, menerusi rancangan pembangunan ekonomi mengikut kawasan ini, negara anggota yang terlibat secara tidak langsung dapat memupuk semangat kerjasama sesama mereka kerana rancangan bersifat ekonomi tidak akan berjaya jika negara anggota yang terlibat tidak sama-sama menggembleng tenaga.

5.1.2 Mewujudkan Ekonomi Rantau ASEAN yang Stabil, Makmur dan Berdaya Saing
Rancangan ASEAN dalam penstrukturan ekonomi ternyata telah berjaya mewujudkan ekonomi rantau ASEAN yang stabil, makmur dan berdaya saing. Misalnya, bagi mengurangkan jurang perbezaan kemiskinan dan sosioekonomi, ASEAN telah menggalakkan perkembangan kawasan pertumbuhan seperti BIMP-EAGA, IMS-GT dan IMT-GT. Sekiranya difikirkan, konsep ini adalah penting bagi menggalakkan pembangunan yang menggabungkan kerjasama bagi setiap ahli. Kerjasama yang wujud sudah pasti akan mewujudkan hubungan yang baik antara negara anggota dan sebarang pertelingkahan dapat dielakkan.

Selain itu, ASEAN juga berusaha untuk mengatasi masalah kerjasama ekonomi serantau dengan melaksanakan beberapa usaha iaitu pada tahun 1977, ASEAN telah menandatangani Perjanjian Peraturan Perdagangan Istimewa ASEAN (Prefential Trading Arrangement-PTA) untuk menambahkan perdagangan antara anggota-anggota ASEAN. Bukti kejayaan PTA adalah pada 1989, sebanyak 14, 656 barangan telah dimasukkan ke dalam Senarai PTA. Manakala, pada tahun 1982, ASEAN telah melancarkan Skim Pelengkapan Industri ASEAN (ASEAN Industrial Complementary Scheme-AIC) untuk menggalakkan setiap negara ASEAN mengeluarkan komponen tertentu dalam sesuatu industri berat misalnya automobil.

5.1.3 Perkongsian Sumber-sumber Alam dan Bahan Mentah

Kebergantungan antara negara amat penting dalam perkongsian sumber-sumber alam khususnya bahan mentah dan sumber tenaga. Bagi Negara yang memiliki sumber alam yang banyak, pelbagai faedah yang boleh diperolehi. Malah, sesetengah negara atau kawasan tidak mempunyai bekalan tenaga yang cukup bagi menggerakkan sektor industri dalam negara. Oleh sebab itu, negara terpaksa bergantung kepada negara luar bagi memperoleh sumber kuasa tersebut. Misalnya, negara Jepun terpaksa bergantung kepada negara-negara Teluk dan Asia yang lain bagi memperoleh bekalan petroleum. Negara-negara Teluk atau Arab pula yang kekurangan sumber minyak kelapa sawit terpaksa bergantung kepada negara-negara Asia Tenggara khususnya Malaysia untuk mendapatkannya. Walaubagaimanapun, Malaysia juga bergantung kepada Thailand untuk mendapatkan bekalan beras.

5.1.4 Perkongsian Teknologi dan Galakkan Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D)
Perkongsian dan pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi baru dalam pelbagai bidang ekonomi juga merupakan kepentingan saling bergantung antara negara. Tanpa teknologi sesebuah negara atau kawasan, tidak boleh dibangunkan walaupun negara tersebut kaya dengan sumber alam. Melalui pemindahan dan perkongsian teknologi moden, maka bidang-bidang pembangunan sumber alam, sumber tenaga, perindustrian, marin, pelancongan, pertanian dan sebagainya di sesebuah negara boleh dimajukan. Contohnya, dalam usaha untuk memperkembangkan Industri Berteknologi Tinggi (HITEC) di Malaysia, negara bergantung kepada pemindahan teknologi dari negara Jepun seperti teknologi kejenteraan automasi, teknologi reka bentuk dan teknologi kawalan mutu. Malaysia juga bergantung kepada perkongsian dan pemindahan teknologi maklumat (IT) dari Amerika Syarikat. Antaranya ialah seperti idea dan teknologi MSC di negara ini yang berkonsepkan teknologi lembah silikon di Amerika Syarikat.



5.1.5 Penubuhan Zon Ekonomi Eksklusif

Zon Ekonomi Eksklusif merujuk kepada tuntutan hak negara-negara untuk menguruskan sumber-sumber alam seperti ikan, petroleum dan gas di perairan pantai. Konsep Zon Ekonomi Eksklusif telah dikemukakan dalam Perjanjian Undang-undang Laut Dunia 1979. Perjanjian Undang-undang Laut Dunia 1979 telah menetapkan Zon Ekonomi Eksklusif berdasarkan jarak 321 kilometer (200) batu dari pantai sesebuah negara. Perjanjian itu menyatakan bahawa negara-negara berkenaan boleh menuntut sumber ekonomi yang ada di lautan dan di dasar laut untuk kepentingan masing-masing.

Penubuhan ZEE banyak memberi faedah kepada negara anggotanya. Salah satu kebaikannnya adalah Malaysia boleh menguasai kepentingan perikanan, minyak petrol, gas dan beberapa buah pulau di Laut China Selatan. Selain itu, penubuhan Zon Eksklusif ini akan membantu sesebuah negara dalam mempertahankan hak mereka. Penubuhan ZEE akan membantu menyelesaikan sebarang masalah perebutan yang berlaku dalam keadaan aman dan damai tanpa berlakunya pergaduhan antara sesama negara.

5.2 KELEMAHAN

5.2.1 Perebutan Ke Atas Kepulauan Spratly

Pelaksanaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) ternyata telah menyebabkan perebutan ke atas Kepulauan Spratly. Hal ini kerana Kepulauan Spratly selama ini dituntut oleh Malaysia sebagai kawasan bertindih. Kedudukan kepulauan ini di kawasan ZEE telah menyebabkan banyak negara bertelagah antara satu sama lain.

Tindakan Malaysia telah menimbulkan masalah yang menjejaskan hubungan Malaysia dalam menghadapi tentangan daripada negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Negara Thai, Vietnam dan Singapura. Negara Thai dan Malaysia telah berkonflik kerana tuntuan ke atas kawasan perikanan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Filipina pula berkonflik kerana tuntutan Filipina ke atas beberapa Kepulauan Spratly. Singapura dan Malaysia pula berkonflik kerana tuntutan ke atas Pulau Batu Putih di Selatan Johor dan Indonesia pula menuntut Kepulauan Natuna dan Anambas. Oleh itu, ZEE yang menetapkan bahawa negara Asia boleh menuntut sumber ekonomi yang ada di lautan telah mendatangkan pertelingkahan antara negara anggota kerana masing-masing ingin mempertahankan kepentingan mereka.

6.0 KESIMPULAN

Berdasarkan penghujahan yang dikemukakan di atas, ternyata dasar kerjasama serantau yang dijalankan dalam kalangan negara anggota di Asia Tenggara mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri dalam sosial, politik dan ekonomi. Malah, jika diperhatikan, pada awal tahun 1947 iaitu semasa Perang Dingin berlaku di antara blok komunis dengan blok kapitalis menyebabkan keadaan dunia menjadi tidak aman. Keadaan ini juga berlaku di Asia Tenggara apabila Asia Tenggara menjadi medan perluasan kuasa komunis dan kapitalis. Selain itu, masalah dalaman Asia Tenggara seperti Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia, tuntutan Filipina terhadap Sabah dan isu Kampuchea juga menyumbang kepada ketidakstabilan dan keamanan rantau Asia Tenggara.

Bagi mengatasi masalah ini, negara-negara Asia Tenggara telah membentuk kerjasama serantau seperti ASA, MAPHILINDO dan ASEAN. Namun begitu, kerjasama serantau yang ditubuhkan sebelum pembentukan Malaysia iaitu ASA dan MAPHILINDO gagal mengatasi konflik dalaman negara Asia Tenggara tetapi kerjasama serantau tersebut berjaya mengurangkan ketidakstabilan rantau Asia Tenggara melalui dasar menyelesaikan masalah dalaman tanpa melibatkan orang luar. Dasar kerjasama serantau yang berjaya mewujudkan dan mengekalkan suasana aman damai di Asia Tenggara adalah ASEAN. Kejayaan ASEAN mengatasi konflik dan mewujudkan suasana aman damai di Asia Tenggara adalah disebabkan dasar berkecuali iaitu tidak mencampuri urusan negara lain yang dipegang oleh negara anggota ASEAN.

No comments:

Post a Comment