Saturday, September 4, 2010


Pembelajaran Secara Konstruktivisme dalam Matapelajaran Geografi
1.0       Pengenalan
Sebagai sebuah Negara yang sedang melangkah ke arah status Negara maju, maka dalam sistem pendidikan di Malaysia pada masa kini, bakal guru  yang sedang menuntut di universiti tempatan ataupun maktab perguruan perlu didedahkan kepada pelbagai teori pengajaran baru. Contohnya teori-teori seperti konstruktivisme, kontekstual, masteri dan inkuiri-penemuan yang ditekankan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah untuk mempelbagaikan lagi kaedah pembelajaran dan pengajaran.
            Menurut Shahril et all. (1998) yang dipetik dari Kidd J.R (1973) menyatakan bahawa pendidikan ialah perkembangan dan penyuburan fikiran dan kuasa-kuasa semulajadi yang bersistematik. Hal ini bermula semenjak prasekolah berterusan sehingga di sekolah dan juga berlangsung sehingga seumur hidup.    Manakala pembelajaran menurut Shahabuddin et all. (2005)  merupakan salah satu aktiviti mental, fizikal atau rohani kepada diri pelajar itu sendiri. Ianya merupakan salah satu proses dimana individu dapat mengubah sikap dan tingkah laku mereka supaya berkembang secara berterusan dan juga tekal serta mampu menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperolehi bagi kemajuan diri-sendiri khasnya  dan masyarakat atau negara amnya.
            Huraian Sukatan Matapelajaran Geografi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) tahun 2000 menyatakan Geografi merupakan matapelajaran teras pada peringkat Sekolah Menengah Rendah dan elektif di peringkat Sekolah Menengah Atas. Tujuan matapelajaran Geografi adalah untuk melengkapkan murid dengan pemahaman dan juga kemahiran asas geografi disamping nilai-nilai kemanusiaan dapat diterapkan di dalam diri seseorang murid. Selain itu juga KBSM matapelajaran Geografi adalah bertujuan untuk menyediakan murid dalam menghadapi cabaran hidup ke arah mewujudkan kesejahteraan diri dan masyarakat. Geografi di Sekolah Menengah Rendah dan Atas merupakan kesinanmbungan matapelajaran Kajian Tempatan di sekolah rendah yang diajar di tahap dua iaitu dari tahun 4 hingga tahun 6.
2.0       Definisi Konsep
Menurut Mohamad Suhaily Yusri (2002), Geografi merupakan satu bidang ilmu yang berkait rapat dengan alam sekeliling dan juga dikenali sebagai disiplin ilmu alam iaitu ilmu yang menjelaskan tentang segala bentuk hidupan dan bukan hidupan yang wujud di dalam persekitaran. Segala bentuk hiduapan dan bukan hidupan  diterjemahkan pula dalam konteks fizikal dan unsur manusia.  Kedua-dua unsur inilah yang menjadi tunjang kepada perkembangan disiplin ilmu Geografi dengan lebih meluas. Perkataan geografi diambil dari perkataan Inggeris yang berasal dari perkataan Greek hê gê (”bumi”) dan graphein (”menulis” atau “menggambarkan”).
            Keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran amat bergantung kepada kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan. Guru perlulah memilih dan menggunakan kaedah-kaedah yang paling sesuai bagi membantu pelajar-pelajar dan dirinya sendiri bagi mencapai objektif pengajaran yang dirancangkan. Mok S. S. (1997), yang dipetik dari Robert M. Gagne mendefinisikan pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan.
            Pembelajaran konstruktivisme ini bertitik tolak daripada teori pembelajaran Behaviorisme yang didokong oleh B.F Skinner yang mementingkan perubahan tingkahlaku ke atas murid dan sesuatu pembelajaran dianggap berlaku apabila terdapat perubahan tingkah laku kepada murid contohnya daripada tidak tahu kepada tahu.
            Manakala definisi bagi Konstruktivisime ialah proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia dan unsur-unsur konstruktivisme telah lama dipraktikkan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah, maktab dan universiti. Tetapi pembelajaran konstruktivisme tidak begitu ketara kerana tidak diberikan penekanan sepenuhnya. Beberapa ahli konstruktivisme yang terkemuka seperti Rutherford dan Ahlgren berpendapat bahawa secara semulajadi murid mempunyai idea mereka sendiri tentang hampir semua perkara tanpa mengira perkara tersebut betul ataupun sebaliknya. Namun begitu, jika kefahaman dan miskonsepsi ini diabaikan maka kefahaman atau kepercayaan asal murid itu akan tetap kekal. Walaupun dalam peperiksaan mereka mungkin memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh guru (http://www.teachersrock.net/teori_kon.htm). Rajah 1 di sebelah dapat memberi kefahaman yang lebih jelas lagi mengenai pembelajaran secara konstruktivisme.
Rajah 1: Gambaran Pengertian Konstruktivisme
Sumber: Pusat Perkembangan Kurikulum

            Konstruktivisme adalah satu pendekatan pengajaran berdasarkan kepada penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakan penyelidik berpendapat setiap individu membina pengetahuan dan bukannya hanya menerima pengetahuan daripada orang lain (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).
            John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme dengan menyatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman murid-murid secara berterusan. John Dewey menekankan kepentingan penyertaan setiap murid di dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah (http://www.teachersrock.net/teori_kon.htm).

3.0       Penerapan Pembelajaran Secara Konstruktivisme dalam Matapelajaran Geografi
Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan tidak boeh dipindahkan daripada seorang guru kepada guru lain dengan sepenuhnya. Murid perlu bina sesuatu pengetahuan mengikut pengalaman masing-masing dan pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid.
            Konstruktivisme mengganggap bahawa pelajar adalah sentiasa aktif dalam membina pengetahuan baru melalui interaksi dengan orang lain dan melalui pengolahan pengetahuan dan pengalaman yang telah mereka kuasai sebelum ini (Noor Azizah, 2006). Melalui pendekatan konstruktivisme pelajar digalakkan berfikir secara kritis dan kreatif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, mengemukakan soalan yang berbentuk inkuiri, dan belajar melalui aktiviti.
            Dalam Matapelajaran Geografi, pembelajaran secara konstruktivisme boleh dilakukan. Sebagai seorang guru, untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada murid. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untuk dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan konstruktivisme.
            Dalam matapelajaran Geografi, murid bukan hanya dibekalkan dengan fakta-fakta sahaja, sebaliknya penekanan diberi kepada proses berfikir dan kemahiran berkomunikasi. Selepas satu sesi perbincangan murid bersama-sama menentukan perkara penting yang harus dipelajari dan tujuan mempelajarinya. Dalam proses ini murid akan mengalami prosedur yang sama seperti yang digunakan oleh seorang saintis seperti menyelesaikan masalah dan memeriksa hasil yang diperolehi.
            Contoh pembelajaran secara konstruktivisme yang boleh diserapkan dalam matapelajaran Geografi adalah seperti  dalam tema 2 bagi tingkatan 1 iaitu dalam tajuk Pergerakan Bumi dalam sistem suria yang membolehkan murid-murid berbincang sesama mereka. Murid-murid akan belajar melalui pengetahuan sedia ada. Perbincangan dalam kumpulan ini membolehkan murid-murid berinteraksi antara satu sama lain. Menurut Shahabuddin et all. (2005) tujuan pembelajaran secara berkumpulan  ialah supaya murid-murid dapat mengambil bahagian yang aktif di samping memenuhi keperluan pelajar yang mempunyai kebolehan yang pelbagai. Melalui kaedah pembelajaran ini, murid-murid akan memahami bagaimana pergerakan bumi dalam sistem suria kerana masing-masing bebas memberikan pendapat dan pandangan. Selepas itu, murid-murid diberi peluang memberi pandangan mereka akan konsep pergerakan bumi dalam sistem suria. Selain itu juga murid-murid boleh belajar melalui aktiviti dengan mengumpulkan gambar-gambar yang menunjukkan suasana empat musim dan guru pula hanya sebagai pembimbing ataupun fasilitator sahaja. Contoh rancangan pengajaran harian yang menggunakan pendekatan konstruktivisme diletakan pada bahagian lampiran.




4.0       Kebaikan dan Cabaran Pembelajaran Secara Konstruktivisme
4.1       Kebaikan Pembelajaran Secara Konstruktivisme
Beberapa ahli konstruktivisme yang terkemuka berpendapat bahawa sesuatu pembelajaran yang bermakna itu bermula dengan adanya pengetahuan atau pengalaman sedia ada seseorang murid.
            Ciri-ciri utama dalam pembelajaran secara konstruktivisme ialah dengan menggalakkan autonomi kendiri dan kawalan pelajar, menyokong kawal aturan kendiri dan menjadikan instruksi relevan kepada diri pelajar. Malah ia mencipta konteks pembelajaran yang menyokong pembangunan autonomi kendiri serta saling kaitan. Selain itu, teori ini juga memberi pelajar sebab untuk belajar dalam menjalankan aktiviti pembelajaran, malah menggalakkan pembelajaran dengan niat dan pemeriksaan kesalahan (qmt323e.wikispaces.com/file/view/Kuiz+2-qmt323e.doc). 
            Dari perspektif konstruktivisme, guru tidak lagi mengajar menggunakan kaedah tradisional sebaliknya menggunakan bahan untuk melibatkan pelajar secara aktif melalui interaksi sosial. Aktiviti menekankan pelajar tentang pemerhatian, pengumpulan data, generasi dan pengujian hipotesis dan kerjasama secara kolaboratif antara satu samaa lain. Pengajaran berlaku diluar sempadan bilik darjah dan secara global. Oleh itu di bawah ini relah dihuraikan akan kebaikan pembelajaran secara konstruktivisme.      
4.1.1    Murid dapat berfikir
Kebaikan pembelajaran konstrukivisme ialah membolehkan seseorang murid membentuk dan menganalisis dengan sendiri tentang apa yang mereka pelajari dan difahami oleh mereka. Proses berfikirkan untuk menyelesaikan masalah, menjana idea, dan membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran adalah  proses untuk membina pengetahuan baru. Sebagai contoh, dalam matapelajaran Geografi ini boleh dicapai melalui bahagian C iaitu Kajian Geografi Tempatan di mana dlam bahagian C ini terdapat  aktiviti seperti penyelidikan dan penyiasatan seperti mengenal pasti masalah, mengumpul maklumat, memproses data, membuat interpretasi dan membuat kesimpulan (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).
4.1.2    Kefahaman Murid Terjamin
Selain itu juga, kebaikan yang kedua ialah kefahaman murid tentang sesuatu konsep dan idea lebih jelas apabila mereka terlibat secara langsung dalam pembinaan pengetahuan baru. Seorang murid yang memahami apa yang dipelajari akan dapat mengaplikasikan pengetahuan yang baru dalam kehidupan dan situasi baru (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).
4.1.3    Murid dapat Mengingat dengan Lebih Lama
Oleh kerana pembelajaran secara konstruktivisme ini dilakukan sendiri oleh murid maka setelah memahami sesuatu konsep, murid akan dapat mengingati lebih lama konsep tersebut kerana mereka terlibat secara aktif dalam mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).
4.1.4    Keyakinan Seseorang Murid dapat Ditingkatkan
Murid yang belajar secara konstruktivisme sangat bertuah kerana mereka diberi peluang untuk membina sendiri kefahaman mereka tentang sesuatu konsep. Peluang untuk membina sendiri kefahaman ini akan menjadikan mereka lebih yakin kepada diri sendiri dan berani menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).
4.1.5    Kemahiran Sosial
Murid yang berkemahiran sosial boleh bekerjasama dengan orang lain dalam menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran sosial ini diperoleh apabila murid berinteraksi dengan rakan-rakan dan guru dalam membina pengetahuan mereka (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).
4.1.6    Pembelajaran Konstruktivisme Menyeronokan
Dalam pembelajaran secara konstruktivisme, secara tidak langsung murid akan membina sendiri pengetahuan, konsep dan idea secara aktif. Penglibatan secara aktif murid-murid ini akan menjadikan mereka lebih faham, lebih yakin dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat walaupun menghadapi pelbagai kemungkinan dan juga cabaran (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).
4.2       Cabaran Pembelajaran Konstruktivisme
Walaupun pembelajaran konstruktivisme mempunyai banyak kelebihan namun apabila pembelajaran secara konstruktivisme diamalkan dalam kelas, peranan murid dan juga guru akan berubah. Terdapat beberapa perubahan dalam bilik darjah khususnya tentang peranan murid dan guru serta cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi oleh mereka dalam pembelajaran secara Konstruktivisme.
4.2.1    Peranan Murid
Murid mengambil inisiatif mengemukakan soalan-soalan dan isu, kemudian secara individu mereka membuat analisis dan menjawab soalan-soalan itu. Murid tiada garis panduan dalam menjawab soalan yang telah dikemukakan. Selain itu juga, mereka bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri dan boleh menyelesaikan masalah namun tidak semua murid mempunyai kecerdasan yang sama. Murid yang bijak akan tahu apa yang dipelajari namun bagi murid yang kurang bijak mereka akan terus ketinggalan (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).
            Murid selalu berbincang dengan guru dan sesama mereka. Perbincangan itu akan membantu murid mengubah atau mengukuhkan idea-idea mereka. Jika seseorang murid itu berpeluang mengemukakan pendapat mereka dan juga mendengar idea orang lain, murid tersebut dapat membina asas pengetahuan yang mereka faham. Murid mencabar hipotesis yang telah dibuat dan digalakkan berbincang untuk membuat ramalan. Murid diberi banyak ruang dan peluang untuk menguji hipotesis mereka terutamanya melalui perbincangan dalam kumpulan. Murid menggunakan data dan bahan-bahan fizikal, manipulatif atau interaktif untuk menolong mereka menjana idea dan pengetahuan. Tetapi tidak semua murid dapat melakukannya. Hanya sesetengah kelas ( Kelas dimana semua murid digolongan dalam golongan yang bijak) saja yang boleh mengikuti pembelajaran konstruktivisme ini (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).
.

4.2.2    Peranan dan Cabaran Guru
Peranan guru ialah dapat menggalakkan murid menerangkan idea mereka serta menghargai pandangan mereka disamping dapat menstruktur pelajaran untuk mencabar persepsi murid.  Selain itu juga, peranan guru adalah membantu murid menyedari kerelevanan kurikulum kepada kehidupan seharian mereka. 
            Peranan guru bukan setakat itu sahaja malah mentaksir pembelajaran melalui aktiviti harian di kelas, bukan hanya dalam bentuk ujian bertulis sahaja tetapi murid diberi tugasan yang berbentuk penyelesaian, menganalisis, meramal, meneroka dan membuat hipotesis.  Seorang guru juga harus menggalakkan penemuan oleh murid melalui pertanyaan soalan bercapah dan menggalakkan murid menyoal murid yang lain.  Memberi masa secukupnya kepada murid untuk menjawab soalan setelah soalan dikemukakan (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).
            Cabaran bagi seorang guru ialah mereka akan merasa mereka tidak mengajar dan segala peneranagan mereka sudah tidak diperlukan lagi. Disamping itu juga, kawalan kelas juga merosot kerana murid-murid akan bebas memberi pandangan mereka. Bagi guru yang sedang menukar cara pengajaran kepada pendekatan konstruktivisme haruslah memerlukan sokongan profesionalisme serta pengukuhan keyakinan daripada pihak sekolah (Pusat Perkembangan Kurikulum, http%3A%2F%2Fppdsegamat.edu.my).



5.0       Kesimpulan
Kesimpulannya pendekatan pembelajaran yang berasaskan kepada konstruktivisme adalah sesuatu usaha yang baik kerana ia akan memberi peluang kepada guru untuk memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai disamping murid dapat menentukan sendiri masa yang diperlukan untuk memperolehi sesuatu konsep atau pengetahuan. Di samping itu juga, guru dapat membuat penilaian kendiri dan menilai kefahamannya tentang sesuatu bidang pengetahuan dapat ditingkatkan lagi. Selain itu, beban guru sebagai pengajar akan berkurangan di mana guru lebih bertindak sebagai pemudahcara atau fasilitator.











Bibliografi
Rujukan Buku:
Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah. (2002). Pengantar Persekitaran Fizikal. Perak: Universiti       Pendidikan Sultan Idris.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (1994). Teknik Pengajaran dan Pembelajaran. Kuala Lumpur:   Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2001). Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah: Huraian        Sukatan Pelajaran Geografi Sekolah Menengah Rendah (SMR) (Tingkatan 1). Malaysia:          Pusat Perkembangan Kurikulum.
Mok S. S. (1997). Pedagogi 2 Pelaksanaan Pengajaran. Selangor: Kumpulan Budiman SDN.      BHD.
Noor Azizah. (2006). Pengaplikasian Teori Konstruktivisme dalam Proses Pengajaran dan           Pembelajaran Mata Pelajaran Reka Cipta. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Shahabuddin H., Rohizani Y., & Mohd. Zohir A. ( 2005). Pedagogi: Strategik dan Teknik             Mengajar dengan Berkesan. Pahang: PTS Publication & Distribution Sdn. Bhd.
Shahril M., Zainun I., Lee P. W., & Saedah Hj. S. (1998). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distribution SDN. BHD.


Rujukan Internet:
Teori Konstruktivisme. (2010). [Atas Talian]. Diambil           pada 03 September 2010 dari             (http://www.teachersrock.net/teori_kon.htm)
Teori Konstruktivisme (2010). [Atas Talian]. Diambil            pada 03 September 2010 dari             qmt323e.wikispaces.com/file/view/Kuiz+2-qmt323e.doc

No comments:

Post a Comment