Wednesday, September 1, 2010


Tajuk: Pembinaan Negara-bangsa dan Kesan-kesannya di Indonesia
Pembinaan negara bangsa merupakan satu istilah yang sangat penting dan merupakan matlamat utama yang ingin dicapai oleh sesebuah negara. Pembinaan Negara-bangsa juga dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran serta penduduknya.[1]
Definisi bagi Negara bangsa boleh dilihat dari konteks politik iaitu merujuk kepada sesebuah Negara yang mempunyai budaya sivik dan ia berkaitkan dengan satu set pengetahuan dan peraturan tentang segala tingkah-laku dalam politik. Unsur-unsur sivik dalam sesebuah Negara boleh diukur dimana masyarakatnya tidak dipisahkan oleh unsur-unsur seperti etnik, kedaerahan, kebudayaan ataupun kepercayaaan. Kejayaan sesebuah Negara-bangsa bergantung kepada budaya sivik yang merangkumi faktor-faktor sejarah, kesediaan rakyat untuk bertolak-ansur dan juga kepimpinan.[2] Selain itu juga, pembinaan negara-bangsa adalah merupakan satu proses dalam mewujudkan ‘semangat kenegaraan’ atau perasaan ‘kekitaan’ dikalangan semua penduduk dalam sesebuah negara.[3]
Merujuk kepada Negara Indonesia, pembinaan Negara-bangsa di Indonesia bermula dengan tertubuhnya sebuah persatuan yang dikenali dengan nama Budi Utomo pada 20 mei 1908 dan diketuai oleh Wahidin Sudirohusodo. Pergerakan Budi Utomo ini merupakan salah satu punca kepada nasionalisme di Indonesia. Kebangkitan nasionalisme diteruskan dengan penubuhan Sarekat Dagang Islam (SDI) pada tahun 1909 yang diketuai oleh Tirtoadisurjo namun tersebut diharamkan oleh Residen Belanda kerana dikatakan telah menganggu ketenteraman awam. Namun begitu parti tersebut telah dibentuk semula dengan nama Sarekat Islam (SI) pada 10 September 1912.[4]
Selain itu, Parti Hindia yang diketuai oleh Douwes Dekker pada Mac 1912 dengan bermatlamatkan Hindia Timur untuk kita. [5] Soekarno, Cipta Mangunkusomo, Sartono dan rakan-rakannya pula mengusul parti-parti lain dengan menubuhkan Parti Nasional Indonesia (PNI) pada 4 Julai 1927. Perjuangan PNI banyak disuarakan melalu akhbar dengan mengistiharkan keunggulan semangat kemerdekaan di seluruh Negara Indonesia. Sejak itu perjuangan nasioanalisme di Indonesia mempunyai matlamat yang jelas iaitu untuk mendapatkan kemerdekaan Indonesia. Buktinya Sukarno telah mengisytiharkan “perjuangan tanpa kalah” dalam menuntut kemerdekaan Indonesia. Perjuangan Nasionalisme di Indonesia diteruskan lagi oleh Gerakan Sumpah Pemuda yang dilakukan oleh Kongres Pemuda Indonesia II pada 27-28  Oktober 1928 yang menyatakan satu bahasa, satu bangsa dan satu tanah air Indonesia disamping pada masa tersebut lagu Indonesia Raya dan bendera pusaka bangsa Indonesia diperkenalkan kepada kongres.[6]
Penaklukan Belanda di Indonesia berakhir pada 8 Mac 1942 apabila ketua tentera Belanda menandatangani perjanjian tanpa syarat kepada Jepun. Pada mulanya, sebahagian besar penduduk Indonesia menyambut Jepun dengan penuh semangat kerana menganggap Jepun sebagai “pembebas”. Namun begitu, Jepun bukanlah seperti yang diharapkan oleh penduduk Indonesia apabila seminggu selepas itu pengibaran bendera Indonesia dilarang. Selain itu juga, pulau-pulau di Indonesia diletakkan di bawah kuasa tentera. [7]
Walaupun begitu, Jepun memerlukan penduduk pribumi dalam meguruskan ekonomi mereka dan oleh itu Jepun mencari pemimpin-pemimpin tempatan dalam menguruskan hal-ehwal Indonesia. Peluang ini tidak disia-siakan oleh kedua-dua pemimpin iaitu Mohammed Hatta dan Sukarno. Mohammed Hatta menyebarkan kegiatan anti-Jepun manakala Sukarno menubuhkan Suruhanjaya pada 24 September 1942 bagi mengkaji Undang-undang adat Indonesia. Kedua-dua tokoh tersebut berjaya mencapai kejayaan yang pertama dalam pergerakan nasionalisme.[8]
Pancasila dimulakan semenjak merdeka lagi untuk membina Negara-bangsa yang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam Negara. Pancasila telah diperkenalkan oleh Sukarno pada 1 Jun 1945. Pancasila merupakan ideologi bagi Indonesia yang mempunyai pulau yang banyak dan bilangan penduduk yang ramai. Amat sukar bagi Indonesia untuk membentuk Negara-bangsa jika pancasila tidak diiktiraf. Oleh itu, dengan merdekanya Indonesia melalui pemberontakan dan penentangan terhadap Jepun oleh golongan nasionalis, tarikh keramat iaitu 17 Ogos 1949 Indonesia merdeka dimana Sukarno menjadi presiden Republik Indonesia dan Mohammed Hatta menjadi timbalan presiden.[9]
Oleh itu, terdapat banyak kesan daripada proses pembinaan Negara-bangsa. Pertamanya ialah Kabinet Indonesia bergolak kerana berlaku percanggahan pendapat antara Sukarno dan Mohammed Hatta dimana Sukarno bukan pemimpin yang berpelembagaan dan gagal memahami perasaan kedaerahan serta tidak mahu menerima nasihat dan pandangan pemimpin-pemimpin lain yang pernah menjadi kawannya.  Akhirnya Mohammed Hatta meletak jawatan bulan Disember 1956.[10]
Selain itu juga, kesan selepas pembinaan Negara-bangsa dapat dilihat apabila Kesatuan Indonesia yang merupakan sebuah Negara persekutuan telah digantikan dengan Negara bersatu selepas enam bulan merdeka. Selain itu juga, empat buah parti telah berjaya semasa pilihanraya diadakan. Namun begitu, berlaku pergolakan antara parti yang telah menyebabkan krisis. Oleh itu, untuk menyelesaikan krisis tersebut Sukarno menawarkan untuk membentuk demokrasi terpimpin dalam bulan Mac 1957. Berlaku pertelingkahan yang panjang antara parti telah mengembalikan pelembagaan tahun 1945.[11]
Masalah ketenteraan Indonesia yang mempunyai tentera seramai 200, 000 orang telah menimbulkan maslah kewangan pada Negara Indonesia. Namun begitu pada tahun 1950, satu rancangan telah dibentuk dengan menukarkan jumlah tentera yang ramai itu kepada satu angkatan yang cergas dan pada masa yang sama telah pembubarkan banyak pasukan yang telah banyak berbakti kepada republik. Selain itu juga, Parti Nasional Indonesia melantik Bambang Utojo sebagai ketua turus tentera dengan mengenepikan tentera kanan. Perlantikan tersebut telah dipulaukan oleh Zulkifli Lubis dan mendapat sokongan daripada banyak pihak terutamanya komander wilayah. Hal ini menyebabkan parlimen kehilangan kuasa terhadap tentera.[12]
Selain daripada itu, pengaruh ketenteraan juga dapat diperhatikan apabila perebutan kuasa tanpa pertumpahan darah berlaku sehingga membawa kepada pada  tertubuhnya Majlis-majlis Mesyuarat Daerah pada penghujung tahun 1956 yang dipimpin oleh tentera Tengah, Utara dan selatan Sumatera. Berlakunya pemberontakan di Indonesia Timur dan Kalimantan telah menyebabkan kerajaan pusat menyerahkan banyak daripada kuasa-kuasanya kepada turus angkatan tentera dan panglima-panglima tentera daerah. Maka hilanglah martabat dan kekuasaan kerajaan pusat.[13]
Selain itu juga, kesan selepas pembinaan Negara-bangsa ialah Indonesia mengalami kekurangan pekerja mahir kerana sebilangan kecil orang Indonesia terlibat dalam perkhidmatan awam seperti bidang pentadbiran. Ini adalah kesan daripada pemberhentian dan perletakan jawatan oleh kakitangan-kakitangan Belanda secara besar-besaran pada tahun 1950. [14]
Pembinaan Negara-bangsa juga memperlihatkan kesan dimana Irian Barat yang dahulunya dibawah jagaan Bangsa-bangsa bersatu telah menjadi milik Indonesia pada tahun 1963.[15]
Kesimpulannya ialah pembinaan Negara-bangsa di Indonesia adalah sangat sukar kerana Indonesia mengambil masa lebih 30 tahun untuk mendapatkan kemerdekaan yang sepenuhnya daripada penjajah. Jika dilihat kebolehan Indonesia untuk mengatasi politik dan ekonomi sejak merdeka adalah sangat meragukan. Namun begitu, bahasa Indonesia telah diakui merupakan bahasa perantaraan dunia disamping dapat menyatupadukan semua wilayah di Indonesia menjadi satu.


Bibliografi
Abd. Aziz Hitam dan Wan Azaham. (1988). Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Amir Hasan Dawi, Mohmad Noor, Abu Bakar. (2008). Pembinaan Negara Bangsa Melalui pendidikan: Kajian Perbandingan Malaysia dan Indonesia. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

D.G.E. Hall. (1987). Sejarah Asia Tenggara Cetakan Keenam. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Institut Tadbiran Awam (INTAN). (1980). Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan. Kuala Lumpur: INTAN.
Marwati Djoened Poesponegoro dan Nugroho Notosusanto. (1993). Sejarah Nasional Indonesia V Cetakan ke Lapan. Jakarta: Balai Pustaka.

Mohamad Rodzi Abd. Razak. (2009). Pembinaan Negara-bangsa Malaysia: Peranan Pendidikan Sejarah dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. JEBAT 36 (2009) 90-106.





[1]  Mohamad Rodzi Abd. Razak,  Pembinaan Negara-bangsa Malaysia: Peranan Pendidikan Sejarah dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, JEBAT 36 (2009) 90-106, hlm 91.
[2] Amir Hasan Dawi et al., Pembinaan Negara Bangsa Melalui pendidikan: Kajian Perbandingan Malaysia dan Indonesia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, 2008, hlm 13.
[3] Institut Tadbiran Awam (INTAN),  Negara Kita: Sejarah, Pentadbiran dan Dasar-dasar Pembangunan, Kuala Lumpur, 1980, hlm 3.

[4] Abd. Aziz Hitam dan Wan Azaham, Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1988, hlm 54-57.
[5] Ibid, hlm 47-49.
[6]Marwati Djoened Poesponegoro dan Nugroho Notosusanto, Sejarah Nasional Indonesia V Cetakan ke Lapan, Balai Pustaka, 1993, hlm 193.
[7] Abd. Aziz Hitam dan Wan Azaham, Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh, 1988, hlm 109-110.
[8] Ibid, hlm 114-115.
[9] Amir Hasan Dawi et al., Pembinaan Negara Bangsa Melalui pendidikan: Kajian Perbandingan Malaysia dan Indonesia, , 2008, hlm 29.

[10] D.G.E. Hall, Sejarah Asia Tenggara Cetakan Keenam, Dewan Bahasa dan Pustaka,Selangor, 1987,  hlm 1088-1089.
[11] Abd. Aziz Hitam dan Wan Azaham, Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh, 1988, hlm 195.
[12] Ibid, hlm 215-218.
[13] D.G.E. Hall, Sejarah Asia Tenggara Cetakan Keenam, 1987, hlm 1090
[14] Ibid, hlm 1091
[15] Ibid, hlm 1093

No comments:

Post a Comment